Atlet negara bakal terima habuan RM2 juta jika peroleh pingat emas pertama negara

34

Berita baik buat atlet-atlet Malaysia yang sedang berjuang di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini telah mengumumkan bahawa pemenang pingat emas pertama negara akan mendapat durian runtuh berjumlah RM2 juta daripada sektor korporat.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media KBS yang memaklumkan sebanyak tiga syarikat korporat menyatakan minat mereka untuk taja wang ganjaran iaitu Yinson Holdings Berhad, Matrix Concepts Holdings Berhad dan juga MJ Health Screening Centre.


Bagaimanapun sekiranya lebih seorang atlet yang memenangi pingat emas pertama, wang tersebut akan dibahagikan sama rata diantara pemenang pingat emas pertama tersebut.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua penaja di atas tajaan yang diberikan dan kepercayaan bahawa atlet Malaysia mampu untuk membawa pulang emas pertama buat negara.

Saya yakin semua atlet akan berusaha memberikan yang terbaik di bumi Paris nanti,”

ujar Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Untuk Olimpik edisi kali ini, Malaysian menghantar kontinjen kecil iaitu sebanyak 26 atlet sahaja.

Dalam pada itu, Chef de Mission (CDM) Kontinjen Malaysia iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin turut teruja apabila banyak syarikat korporat tampil untuk beri sokongan buat atlet negara.

“Kami sangat teruja kerana ramai badan korporat tampil memberikan sokongan mereka kepada kontinjen negara. Semua insentif ini berperanan sebagai pendorong yang kuat.

Kita berharap atlet negara akan memberikan persembahan yang memberikan inspirasi untuk memenangi pingat emas pertama negara.”

Terdahulu, Top Residency juga tampil memberikan sumbangan sebanyak RM1 juta dalam nilai hartanah iaitu pangsapuri perkhidmatan mewah.

Sementara itu, Senheng New Retail Berhad turut menjanjikan RM1 juta kepada pemain kebangsaan Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie di bawah program mereka iaitu Bakat Badminton SS.

Selain itu, pengeluar kereta Chery Malaysia juga tampil menghadiahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang memenangi sebarang pingat di Sukan Olimpik.