Selain promosi filem, harap penganjuran Harimau Malaya Junior Cup dapat bantu pembangunan akar umbi kita – Nashrul Nasir

108

Tayangan filem sukan yang paling dinanti-nantikan ramai peminat bola sepak tanah air iaitu “Harimau Malaya: The Untold Journey” bakal membuka tirainya pada bulan Ogos bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan.

Disebalik keterujaan ramai menanti tayangan filem tersebut, pihak produksi filem iaitu 4ward Pictures Sdn Bhd turut menganjurkan kejohanan bola sepak Harimau Malaya Junior Cup yang berlangsung di Arena Sukan Kuala Lumpur baru-baru ini.


Menurut Penerbit Eksekutif iaitu Nashrul Nasir, selain menghasilkan filem berkaitan dengan bola sepak pihaknya juga mahu menyumbang kepada pembangunan bola sepak di akar umbi dengan menganjurkan kejohanan untuk kategori bawah 10 tahun (B-10) dan bawah 12 tahun (B-12).

“Selain sebagai rangka promosi filem, kami mahu pemain-pemain dapat pendedahan terutamanya di peringkat akar umbi dan apa yang kita buat adalah untuk B-10 dan B-12 jadi mereka dapat merasai suasana pertandingan dan kemeriahan sesebuah kejohanan.

Harap dengan adanya kejohanan seperti ini ia dapat membantu akar umbi kita,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Nashrul lagi, kejohanan Harimau Malaya Junior Cup akan berlangsung di empat zon iaitu Utara, Selatan, Pantai Timur dan Tengah yang mana juara setiap kategori akan mara ke Grand Final yang akan berlangsung pada 10 Ogos ini di Subang, Selangor.

Apa yang lebih menarik adalah setiap juara bagi kedua-dua kategori akan mendapat tajaan untuk bermain perlawanan persahabatan di luar negara.

Tambahnya lagi, pada aksi Grand Final itu akan berlangsung satu perlawanan pertunjukan melibatkan pelakon filem Harimau Malaya, selebriti dan bekas pemain.

Dalam pada itu, Nashrul berharap dengan penerbitan filem “Harimau Malaya: The Untold Journey” dapat mencetuskan rasa bangga dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

“Saya harap sebagai rakyat Malaysia sempena dengan bulan Ogos nanti, bulan kemerdekaan dengan adanya filem ini kita dapat memupuk rasa bangga dan sayang kepada negara kita.”

Sementara itu, filem arahan Datuk Afdlin Shauki ini akan ditayangkan diseluruh negara bermula 15 Ogos 2024.