Saya nak habiskan larian saya dalam keadaan saya tidak menyesal – Azeem Fahmi
Jaguh pecut kebangsaan, Azeem Fahmi memberitahu beliau akan berikan yang terbaik dalam penampilan pertamanya di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Azeem, beliau tidak akan meletak tekanan yang tinggi buat dirinya biarpun sedar banyak nama besar turut bersaing.
“Untuk saya, saya tidak ambil itu sebagai tekanan atau beban buat diri saya sebab ini adalah Olimpik pertama saya tapi sudah pasti sasaran saya adalah untuk buat yang terbaik walau apa pun terjadi.
Saya nak habiskan larian saya dalam keadaan saya tidak menyesal,”
katanya.
Azeem juga berkata sasarannya untuk cuba perbaiki catatan masa untuk musim terbaiknya adalah sasaran yang realistik buat dirinya kerana enggan letak sasaran yang tidak mampu untuk dicapainya.
“Bagi saya untuk ‘season best’ itu sangat realistik dan itu adalah yang terbaik buat saya tapi sudah tentu di sudut hati saya ada sasaran yang saya rasa boleh capai juga tapi tak sesuai untuk dihebahkan.”
Dalam pada itu, Azeem yang berjaya menempatkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu apabila mendapat slot ‘wild card’ mahu buktikan beliau sememangnya layak untuk mendapat slot tersebut.
“Seluruh Malaysia tahu saya tidak layak secara merit tapi Alhamdulillah diberi rezeki peluang untuk bertanding menggunakan tiket ‘wild card’ jadi bagi saya apa yang saya cuba untuk pamerkan di Paris nanti adalah buktikan saya memang layak untuk dapat slot ‘wild card’.”
Sementara itu, Azeem menjadi atlet negara terakhir berlepas ke Paris.