Sehingga ke hari ini kita ‘support’ KL City FC tapi apa dijanji masih belum dipulangkan lagi – Datuk Razalif

68

Pemilik baharu kelab Bukit Tambun FC, Datuk Razalif Mohamad Zain mendedahkan beliau pernah menawarkan diri untuk membeli kelab bermasalah KL City FC kira-kira dua tahun lalu namun ia tidak menjadi realiti dek masalah dalaman yang berlaku.

Menurut Razalif, biarpun tidak berjaya membeli kelab itu tetapi beliau tetap memberi sokongan kepada The City Boys sehingga kini biarpun apa yang dijanjikan belum dipulangkan.


“Sebenarnya pada tahun 2022 saya telah menawarkan diri untuk membeli KL City FC tetapi pada tahun itu mereka berdepan masalah dalaman dan sehingga ke hari ini ada juga kita ‘support’ pasukan tersebut tetapi sehingga ke hari ini kita punya yang mereka janjikan pun tidak dipulangkan lagi.

Tapi kita tidak mahu perbesarkan perkara ini buat masa sekarang dan insyaAllah dalam masa terdekat juga kita akan ambil tindakan undang-undang,”

katanya.

Razalif turut mendedahkan jumlah yang beliau keluarkan untuk kelab tersebut yang berjumlah RM1.25 juta yang mana beliau dijanjikan sebagai pemilik baharu kelab itu tapi sebaliknya berlaku.

Dalam pada itu, Razalif yang baru sahaja mengambil alih kelab Bukit Tambun FC akan menjenamakan semula kelab itu kepada Brotherkita FC yang ketika ini bersaing dalam saingan Liga A1 (liga semi-profesional).

Beliau turut memberitahu akan membawa rombakan besar-besaran pada jendela perpindahan kedua nanti yang mana beliau akan membawa masuk pemain dari Liga Super dan juga pemain import untuk memperkuatkan pasukan.

Bukit Tambun yang kini berada di kedudukan ke-12 liga sememangnya perlu ‘nafas’ baharu sekiranya mahu mencapai sasaran menamatkan saingan liga di kedudukan tiga teratas Liga A1.