Perlawanan menjadi sedikit mudah selepas pemain Sabah FC dilayangkan kad merah – Paulo Josue
Ketua pasukan KL City FC, Paulo Josue mengakui layangan kad merah kepada pemain Sabah FC sedikit sebanyak memudahkan pasukannya untuk menguasai perlawanan sekaligus berjaya menang 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
“Bersyukur kerana malam ini semua berjalan dengan lancar di mana bahagian pertahanan dan serangan berfungsi dengan cukup baik dan kami berjaya jaringkan tiga gol.
Sudah tentu perlawanan menjadi sedikit mudah disebabkan layangan kad merah kepada salah seorang pemain Sabah membuatkan kami dapat menguasai bola dan mengambil pendekatan untuk bersabar dan mencari ruang sebelum menjaringkan gol.
Ia merupakan malam yang baik dan tiga mata ini meletakkan KL Citu berada di kedudukan ketiga liga ketika ini,”
katanya.
Paulo turut menyumbang gol menerusi jaringan cantik dari sepakan percuma dan beliau berpeluang untuk menambah koleksi golnya namun sepakan penalti yang diambilnya diselamatkan oleh penjaga gol lawan.
Dalam pada itu, Paulo berkata kemenangan terbaru ini memberi petanda dan amaran kepada pasukan lain bahawa pasukannya kini cukup kebal di tempat sendiri.
Beliau juga mengakui pasukannya akan berdepan tugas sukar apabila bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) menentang Terengganu FC kerana pasukan itu juga berada dalam prestasi terbaik ketika ini.
“Selepas ini kami akan menentang Terengganu di tempat lawan yang merupakan perlawanan cukup sukar kerana mereka juga sedang dalam prestasi terbaik tapi kami ada cara permainan kami sendiri dan perancangan untuk bertemu mereka nanti jadi harap kita pergi sana nanti dapat kutip mata.”
Sementara itu, biarpun baru bermain enam perlawanan namun KL City kini berada di tempat ketiga Liga Super dengan 11 mata.