V. Saravanan dedah bakal kembali ke Finland hujung tahun ini

104

Penolong ketua jurulatih untuk pasukan Piala Presiden Perak FC, V. Saravanan mendedahkan bahawa beliau bakal kembali ke Finland pada hujung tahun ini selepas mendapat tawaran mengendalikan salah sebuah kelab di sana.

Menurut Saravanan, beliau sudah pun buat keputusan untuk ke sana selepas kontraknya bersama skuad The Bos Gaurus tidak akan disambung lagi.


“Pada penghujung tahun ini saya akan berhijrah lagi ke Finland selepas kontrak saya tamat pada bulan Disember depan.

Saya juga sudah bersetuju terima tawaran dan ini memang pasti saya akan ke sana,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebelum ini beliau pernah menjadi jurulatih untuk skuad remaja kelab HJK Helsinki dari tahun 2012 hingga 2022.

Untuk makluman, selain mengendalikan pasukan untuk saingan Piala Presiden beliau turut akan mempersiapkan pasukan untuk bertanding di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak tidak lama lagi.

“Lagi empat hari kita akan bertemu dengan pasukan KL City dan selepas itu kita akan pergi ke SUKMA yang mana sasaran kita adalah untuk menjadi juara atau sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir. Memang sukar tapi itulah realitinya.

Jadi sekarang kita kena buat pasukan dan cuba mengharungi dari satu perlawanan ke satu perlawanan.”

Dalam pada itu, Saravanan turut berkongsi pengalamannya bekerja dibawah Datuk Lim Teong Kim (LTK) ketika mengendalikan The Bos Gaurus pada musim lalu.

“Beliau seorang pengendali yang cukup berdedikasi, berdisiplin, tegas dan punya kasih sayang juga. Orang kenal beliau sebagai seorang yang tegas tapi bila anda betul-betul mengenalinya, beliau seorang yang boleh dibawa bersembang dan tidak lokek untuk berkongsi pengalaman beliau ketika bersama Bayern Munich.

Saya dan beliau ada banyak persamaan sebab kami tahu tahap di Eropah. Beliau seorang yang menghormati saya dan untuk pengetahuan beliau tidak pernah panggil saya Sara tapi panggil Coach Sara. Ini merupakan salah satu nilai murni yang saya belajar daripadanya.”

Kerjasama kedua-dua mereka tidak bertahan lama apabila pihak pengurusan Perak mengambil keputusan untuk memecat Teong Kim selepas beberapa bulan dek prestasi hambar pasukan.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen