Kelvin Pang harap satu jawatankuasa khas dapat diwujudkan untuk buat pembangunan akar umbi e-sukan
Pengurus Besar (GM) pasukan e-sukan Honor of Kings (HOK) Malaysia Team Secret, Kelvin Pang menyuarakan pendapatnya supaya satu jawatankuasa khas dapat ditubuhkan yang akan bertindak sebagai badan yang bertanggungjawab dalam pembangunan akar umbi e-sukan.
Menurut Kelvin, pembangunan akar umbi e-sukan boleh dilakukan mengikut acuan daripada pembangunan akar umbi bola sepak.
“Saya ada membaca satu IG post daripada Harimau Malaya mengenai macam mana Kim Pan-gon (bekas ketua jurulatih Harimau Malaya) buat perancangan untuk pasukan bola sepak kebangsaan dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat profesional.
Jika kita melihat perspektif e-sukan ia tampak masuk akal jadi apa yang dikongsi oleh KPG dari perancangan B-17 hingga senior adalah sesuatu yang juga boleh dilakukan untuk e-sukan.
Di Malaysia masih belum buat, jadi kalau ada satu jawatankuasa yang dapat kongsi pengalaman dan macam mana nak majukan e-sukan saya rasa ia satu perkara yang cukup bagus,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai sasaran beliau untuk pasukannya yang akan bersaing dalam kejohanan HOK Esports World Cup 2024 yang sedang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi yang mereka telah diundi dalam Kumpulan A.
“Sasaran pertama adalah untuk cuba menjadi juara Kumpulan A kerana jika juara kami dapat pilih lawan di Kumpulan B kerana jika kami jadi naib juara kami tidak akan dapat untuk pilih lawan.
Bagaimanapun kita tidak boleh pandang rendah kepada pasukan lain yang berada dalam kumpulan sama kerana format untuk peringkat kumpulan hanyalah ‘best of one’ sahaja dan bukannya ‘best of three’ jadi apa sahaja boleh berlaku.”
Sementara itu, Kelvin juga menjadikan kejayaan Selangor Red Giants (SRG) di MSC 2024 sebagai inspirasi buat diri dan pasukannya untuk berikan aksi terbaik di HOK Esports World Cup 2024.