Daniel Ting – Selamat tinggal KL City FC, selamat datang ke ……?

760

Pasukan KL City FC terpaksa melupakan khidmat tonggak pertahanan mereka, Daniel Ting apabila pemain itu dilaporkan mempunyai masalah keluarga sekaligus tidak dapat pulang ke Malaysia.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif KL iaitu Stanley Bernard selepas kelibat pemain kacukan Malaysia-England itu tidak kelihatan ketika sesi latihan dan juga perlawanan persahabatan.


KL kini dalam rundingan dengan Daniel bagi menamatkan kontraknya berikutan pemain itu masih mempunyai baki kontrak dengan KL.

Berita mengenai Daniel ini agak mengejutkan peminat bola sepak tanah air yang mula membuat pelbagai spekulasi dan khabar angin mengenai tindakan ‘kurang’ profesional oleh pemain itu.

Antaranya adalah sekiranya kedua-dua pihak berjaya menamatkan kontrak secara baik, ia akan membuka peluang kepada pasukan lain untuk mengambil pemain itu tanpa perlu menebus kontrak.

Selain itu terdapat juga spekulasi yang mengatakan pemain itu berkemungkinan akan kembali ke kancah Liga Malaysia pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia pada pertengahan musim ini.

Peminat juga mula membuat spekulasi pasukan manakah yang bakal menjadi destinasi terbaru Daniel selepas ini, samada akan kembali ke pangkuan KL atau ke pasukan lain atau pun ke bekas pasukannya sebelum ini.

Apa yang membuatkan peminat KL kecewa dengan keputusan Daniel adalah beliau merupakan tunjang utama kejayaan KL menjuarai Piala Malaysia edisi ke-100.

Sepanjang musim lalu, Daniel merupakan pertahanan kiri utama buat skuad The City Boys dengan membuat 33 penampilan dengan menjaringkan dua gol.

Ketiadaan pemain berusia 30 tahun itu akan membuka peluang kepada pemain pertahanan baru kacukan Malaysia-Australia iaitu Declan Lambert dan Nabil Hakim Bokhari.

Jadi persoalan yang akan terus menjadi tanda tanya peminat adalah ke manakah destinasi Daniel Ting selepas ini? Sama-sama kita tunggu.