Saya nak jadi yang terpantas di ASEAN – Azeem Fahmi
Jaguh pecut negara, Azeem Fahmi memberitahu beliau akan terus bekerja keras bagi merealisasikan sasarannya untuk menjadi pelari terpantas di rantau Asia Tenggara (ASEAN).
Menurut Azeem, beliau sedar dengan situasinya ketika ini dan tidak meletakkan dirinya berada dalam zon selesa.
“Saya tidak meletak diri saya dalam zon selesa sebab saya sendiri tahu saya masih belum menjadi pelari terpantas di Asia Tenggara jadi untuk mana-mana kejohanan nanti saya akan cuba tingkatkan prestasi untuk beri saingan kepada jaguh pecut dari negara lain.
Kita akan lakukannya ‘step by step’ dan sudah semestinya sasaran utama adalah untuk jadi yang terpantas di Asia Tenggara dan Asia,”
katanya.
Azem merupakan salah seorang pelari pecut tumpuan di Asia Tenggara ketika ini selain Puripol Boonson (Thailand) dan Muhammad Zohri (Indonesia).
Dalam pada itu, Azeem juga berkata kritikan terhadap prestasinya adalah perkara yang normal bagi dirinya sebagai seorang atlet.
“Bagi saya ia perkara normal bagi seorang atlet yang mana kami akan dikritik, diberi nasihat dan diberi pelbagai teguran jadi bagi saya diusia yang semuda ini saya rasa saya harus ambil semua sebagai satu aura positif dan bukannya untuk saya menidakkan apa yang diberikan walaupun kemungkinan besar ramai yang akan berkata bahawa sebahagian daripada itu betul dan tidak betul.
Jadi bagi saya, saya tetap akan ambil semuanya sebagai satu aura positif sebab untuk jadi lebih baik di masa depan anda perlu hadapi pelbagai cabaran sepanjang karier anda.”
Sementara itu, Azeem yang mendapat slot ‘wild card’ ke Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini menyaksikan beliau gagal memperbaiki catatan masa terbaiknya dalam acara pecut 100 meter (m).