Skuad Brad Maloney jadikan Piala AFF B-23 sebagai medan ‘pemanas badan’?

176

Selepas kegagalan skuad senior di saingan Piala AFF 2020 di Singapura tahun lalu, peminat bola sepak tanah air mula mengalih tumpuan mereka kepada skuad B-23 Malaysia pula yang akan bersaing di Piala AFF B-23 di Kemboja.

Skuad kendalian Brad Maloney akan membuka tirai saingan dalam kumpulan B menentang Mynmar pada 15 Februari sebelum bertemu Laos pada 21 Februari pada perlawanan terakhir.


Pasukan kebangsaan dijangka tidak akan berdepan sebarang masalah untuk mara ke peringkat kalah mati berikutan juara bertahan yang diundi dalam kumpulan B sebelum ini terpaksa menarik diri gara-gara hampir keseluruhan pemain mereka positif COVID-19.

Tidak dapat dinafikan rata-rata peminat berharap skuad B-23 negara dapat menebus kegagalan skuad senior, namun nampaknya lain yang berlaku apabila Maloney dilihat membariskan hampir keseluruhan pemain baru.

Kehadiran pemain baru ini sedikit menimbulkan kegusaran peminat samada anak buah Maloney mampu cipta kejayaan atau sebaliknya.

Berdasarkan keputusan beberapa siri perlawanan persahabatan skuad B-23 baru-baru ini, apa yang boleh dirumuskan adalah Maloney akan menjadi saingan Piala AFF edisi ini sebagai aksi pemanas badan sahaja.

Ini kerana selepas ini skuad negara akan mempunyai tiga lagi kejohanan besar iaitu Sukan Sea di Vietnam (Mei), Piala Asia di Uzbekistan (Jun) dan Sukan Asia di Hangzhou, China (September).

Sumber foto: FAM Facebook

Saingan Piala AFF akan menjadi medan terbaik untuk Maloney mencari dan membentuk sebuah pasukan yang ampuh.

Peminat juga boleh menjangkakan Maloney akan melakukan ‘eksperimen’ yang berkemungkinan akan memakan diri sekiranya percaturan yang dilakukan tersilap langkah.

Namun dengan rekod cemerlang Maloney membimbing skuad B-23 tahun sebelum ini, ramai yang meletak kepercayaan kepada beliau selain yakin mampu skuad baru ini mampu cipta sesuatu.

Skuad terbaru B-23 menyaksikan sebanyak enam pemain dari Selangor dipanggil dan diikuti oleh Sabah FC dengan empat pemain, PJ City FC tiga pemain, Penang FC, Sarawak United, Projek FAM-MSN, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC dua pemain, manakala Kedah Darul Aman FC, PDRM FC, Melaka United FC, Johor Darul Ta’zim II dan KL City FC masing-masing seorang pemain.

Terdahulu Pemain Johor Darul Ta’zim II, Shafi Azswad Sapari akan tiba di Phnom Penh, semalam untuk menyertai skuad Harimau Malaya B-23 bagi menggantikan Fahmi Daniel Zaaim yang disahkan positif COVID-19 ketika ujian PCR sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Jumaat lalu (11 Februari).

Seluruh peminat bola sepak tanah air akan mendoakan kejayaan skuad B-23 sepanjang kempen Piala AFF yang membuka tirai pada 14 Februari (hari ini) hingga 26 Februari ini.