Bukan kolaborasi tapi kelab bola sepak tanya bagaimana nak wujudkan ekosistem dalam e-sukan – Daddyhood
Pengasas pasukan e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) terkenal Homebois, Daddyhood tampil menyangkal khabar angin kononnya pasukannya bakal berkolaborasi dengan salah sebuah kelab bola sepak.
Menurut Daddyhood, memang ada pihak dari sebuah kelab bola sepak berhubung dengan pihaknya tetapi ia lebih kepada untuk bertanyakan mengenai bagaimana hendak mewujudkan ekosistem e-sukan yang bagus.
“Mengenai kolaborasi dengan sebuah kelab bola sepak, macam mana ya saya nak jawab? Ia macam ini, ekosistem dalam Homebois kalau anda tengok ia adalah satu ekosistem yang agak lengkap dengan adanya fasiliti, ada merchandise, ada jualan, ada revenue, pemain dan staf jadi ini adalah ekosistem yang baik.
Dan ekosistem ini perlu ada pada semua pasukan e-sukan di Malaysia sebab kalau tak ada ia akan jadi tidak sihat kerana pemilik pasukan tidak dapat ‘sustain’ pasukan.
Oleh sebab itu kelab bola sepak itu bertanya apakah jalan yang baik untuk kita wujudkan ekosistem yang lebih berstruktur dan lebih baik,”
katanya.
Tambahnya lagi, kelab bola sepak tersebut juga bertanyakan mengenai potensi e-sukan di Malaysia ketika ini.
Pada masa sama Daddyhood turut memberikan contoh bahawa pasukannya berjaya menjual sebanyak 40,000 helai jersi sekaligus menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menjual jersi pasukan terbanyak.
Dalam pada itu, Daddy turut memberitahu bahawa beliau akan berehat seketika dan tidak akan bersama pasukan untuk saingan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-14.