Tan Cheng Hoe intai peluang untuk teruskan karier di luar negara
Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe memberitahu bahawa beliau ketika ini sedang mengintai peluang untuk meneruskan kariernya di luar negara selepas kontraknya bersama kelab Police Tero FC tamat baru-baru ini.
“Saya juga sedang mencari peluang untuk teruskan kerjaya saya sebagai jurulatih dan harap mana-mana kelab daripada luar negara berminat untuk saya teruskan karier di luar negara.
Sudah tentu saya ingin memberi lebih tumpuan kepada kerjaya saya di luar negara kerana sebelum ini saya hanya mempunyai tempoh yang singkat ketika di Thailand iaitu tiga bulan sahaja,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Terdahulu, Cheng Hoe yang berjaya membawa Selangor FC ke pentas AFC Champions League 2 (ACL2) untuk musim 2024/25 telah mengejutkan ramai pada awal tahun lalu apabila mengambil keputusan untuk berhijrah ke Thai League 1 ketika sedang membuat persiapan pra musim Liga Malaysia.
Susulan kontraknya sudah tamat bersama Police Tero, Cheng Hoe kini sedang berehat dan meluangkan masa bersama keluarganya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Liga Antara Negeri, Piala MCFA Edisi ke 71.
Dalam pada itu, Cheng Hoe turut gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh ketua jurulatih Nidzam Jamil yang berjaya membawa pasukan ke perlawanan akhir Piala FA 2024.
“Tahniah kepada Nidzam Jamil kerana berjaya menggalas tanggungjawab yang bukan mudah bersama skuad Selangor tahun ini tetapi apa yang penting adalah dari segi kepimpinan beliau baik dan juga sokongan padu daripada pihak pengurusan dan pemain, maka beliau mampu menggalas tugas tersebut.”