Gagal di Olimpik Paris? Kita perlu berpijak di bumi yang nyata – Hamidin

79

Chef de Mission (CDM) kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin tidak melihat prestasi negara di temasya itu sebagai gagal berikutan sasaran untuk mendapat pingat emas pertama Malaysia tidak dapat dicapai.

“Kita perlu berpijak di bumi yang nyata. Saya bagi contoh badminton, tiada seorang pun pemain badminton kita berada di ranking No.1 atau No.2 dunia tapi mereka berjaya melepasi lebih dari pencapaian mereka sebelum ini di Olimpik.

Jadi kita kena lihat perkara itu juga. Kalau mereka ini berada dalam kedudukan ranking No.1 dunia mereka tidak dapat emas itu lain lah kerana kita ketika ini berusaha untuk ke arah itu,”

katanya.

Impian untuk melihat atlet negara untuk mendapat pingat emas pertama di temasya Olimpik tidak dapat dicapai selepas Malaysia hanya berjaya membawa pulang dua pingat gangsa menerusi sukan badminton iaitu beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki Lee Zii Jia.


Dalam pada itu, Hamidin juga berkata jika Malaysia mahu mencerahkan peluang untuk mendapatkan pingat emas pertama mereka perlu buat persiapan untuk temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2024 bermula dari sekarang.

“Pandangan saya, pertama kita kena fokus sukan apa yang kita nak kejar untuk dapat pingat emas kerana kita tidak boleh kejar untuk semua sukan.

Yang kedua kita perlu bermula dari sekarang dan bukannya bermula setahun atau enam bulan sebulan temasya bakal berlangsung. Ia mesti bermula dari sekarang jadi bermakna persatuan, atlet, MSN (Majlis Sukan Negara), MOM (Majlis Olimpik Malaysia), RTG (Road to Gold) serta pihak lain.

Jika kedua-dua perkara itu dapat dilaksanakan insyaAllah di LA nanti akan ada harapan.”

Hamidin berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang dari Paris pagi tadi.