Biarpun timba pengalaman berharga di Olimpik tapi Ashley Lau kecewa hampakan peminat
Pemain golf profesional wanita negara, Ashley Lau berkata beliau menimba pengalaman yang cukup berharga di Sukan Olimpik Paris 2024 yang merupakan penampilan pertamanya di temasya itu.
Biarpun timba pengalaman berharga tetapi Ashley mengakui berasa sedih kerana kecewakan harapan peminat.
“Ia satu pengalaman yang cukup bagus dan saya cukup gementar ketika buat penampilan di Olimpik dan berharap dapat buat dengan lebih baik lagi namun saya berjaya timba banyak pengalaman dan pengajaran baru.
Seperti yang saya katakan, saya jangka dapat buat dengan lebih baik lagi namun sebaliknya berlaku sekaligus membuatkan saya berasa saya telah kecewakan ramai, oleh sebab itu saya berasa cukup beremosi ketika temubual selepas tamat permainan,”
katanya.
Ashley yang bersaing dalam acara individu wanita telah menamatkan saingan di kedudukan ke-55 daripada 60 peserta selepas membuat pukulan keseluruhan 18 di atas par 306.
Dalam pada itu, Ashley juga memberitahu antara perkara yang beliau perlu perbaiki adalah kekuatan mental dan mampu mengawal tekanan dengan baik.
“Saya kekurangan dari segi kekuatan mental dan kawal tekanan berbanding pemain-pemain lain.”
Pemain golf berusia 24 tahun itu pada masa sama juga berkata beliau tiada masalah bermain dengan barisan pemain golf hebat dunia kerana pernah sudah mempunyai pengalaman bermain dengan mereka ketika Maybank Championship di Malaysia tahun lalu.
“Saya tidak rasa gementar bermain dengan mereka sebaliknya lebih gementar beraksi di pentas Olimpik.”
Sementara itu, Ashley berkata selepas pulang dari Olimpik beliau akan ke Sarawak untuk upacara menyalakan obor untuk temasya SUKMA Sarawak (Sukan Malaysia) 2024 sebelum pulang ke Amerika Syarikat.