Tiada seorang atlet pun tak nak ‘fight’ untuk dapatkan pingat – Nurul Izzah Izzati
Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berkongsi rasa sedih yang menimpa pasukan negara selepas mereka gagal membawa pulang sebarang pingat di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Menurut Nurul Izzah, kesemua mereka sudah pun buat yang terbaik dan tiada seorang atlet pun yang tidak mahu berjuang untuk dapatkan pingat buat negara.
“Saya tumpang sedih atas apa yang berlaku kepada mereka sebab kita nampak kan mereka betul-betul nak pingat, memang semua ‘fight’ untuk pingat dan tiada seorang atlet pun tak nak ‘fight’ untuk dapatkan pingat. Jadi bagi diri saya sendiri, saya mahu terus progress dalam karier saya untuk masa depan,”
katanya.
Terdahulu, cabaran Nurul Izzah dalam acara pecut individu wanita berakhir di perlumbaan saringan repechages pusingan 1/32 selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Dalam pada itu, pelumba berasal dari Kedah itu berjaya mencipta sejarah apabila berjaya layak ke Olimpik Paris sekaligus menjadi pelumba wanita kedua negara beraksi di Olimpik selepas Fatehah Mustapa.
Beliau yang diberi jolokan ‘The Pocket Rocketwoman’ menjadi perhatian ramai selepas berjaya menang pingat emas acara 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) pada tahun 2022 dan dua pingat emas untuk acara keirin dan 500m ujian masa pada ACC 2024.
“Ini bukan Olimpik terakhir saya, mungkin di Olimpik LA 2028 nanti saya akan layak.”
Sementara itu, biarpun tidak berjaya melangkah jauh di Olimpik tetapi Nurul Izzah berjaya memecah rekod kebangsaan dan juga rekod terbaik dirinya.