Kerteh FC tak terburu-buru mahu main di Liga M3

307

Walaupun nama kelab Kerteh FC tidak segah berbanding kelab-kelab lain yang bersaing dalam Liga M3 lain, namun mereka tetap mendapat perhatian terutamanya dari peminat tegar bola sepak tanah air.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC iaitu Syed Khairi Amier Bin Syed Radzuan, beliau sedar yang peminat mahu melihat Kerteh beraksi di saingan Liga M3 musim ini tetapi mereka mengambil keputusan untuk tidak menyertainya.


“Ramai yang mahu bersaing dalam Liga M3 tapi kami terpaksa tolak terlebih dahulu kerana merasakan kami belum bersedia dari segi persiapan pasukan dan juga kewangan.

Kami sebenarnya sudah pun mempunyai perancangan asal iaitu kami sasar untuk ke saingan Liga M3 pada tahun 2028 selepas kami sudah stabil termasuk sudah mempunyai stadium sendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: Kerteh FC IG

Tambah Syed Khairi lagi, mereka bersama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah menandatangani perjanjian penyerah Stadium Mini Kerteh bagi kerja-kerja menaik taraf dan menguruskan.

Projek yang diberi nama Kerteh Sports City akan menelan belanja jutaan ringgit dan akan dilakukan dalam lima fasa. Ketika ini fasa pertama akan siap dalam masa terdekat ini iaitu menaikkan taraf stadium dan memasang padang sintetik.

Selain projek stadium, mereka juga bakal membina padang latihan bersaiz FIFA, pusat sukan dan kediaman dan kesemua fasa ini dijangka akan lengkap pada 2027.

Atas faktor masih belum mempunyai stadium sendiri menjadi salah satu sebab mengapa kelab yang diberi jolokan The Oilers ini tidak mahu menyertai saingan Liga M3 lagi.

Sumber foto: Kerteh FC IG

“Kami mahu ada stadium sendiri terlebih dahulu. Apabila sudah ada stadium, Kerteh FC akan berpeluang main di tempat sendiri yang mana ia bukan sahaja dapat menarik orang ramai untuk datang ke stadium untuk menonton bola sepak, tetapi juga dapat menjana pendapatan.”

Dalam pada itu, walaupun Kerteh tidak akan beraksi di saingan Liga M3, mereka kini sedang menanti pengesahan daripada Liga Amatur Malaysia (AFL) samada saingan Liga M4 dan M5 akan dianjurkan pada tahun ini atau tidak.

Sumber foto: Kerteh FC IG

Sekiranya AFL mengesahkan mereka akan menganjurkan saingan Liga M4 dan M5, Kerteh akan mempersiapkan pasukan untuk menyertainya.

Selain Kerteh FC, sebuah lagi kelab iaitu Real Chukai FC merupakan sebuah lagi kelab yang berpengkalan di Kemaman yang mana mereka kini bermain dalam saingan Liga M3. Jika kedua-dua kelab ini berentap, perlawanan ini akan dirujuk sebagai Kemaman Derby oleh penyokong.