Jeonbuk lawan paling sukar dalam Kumpulan H – Evren Tasci
Penolong Pengurus Dynamic Herb Cebu FC, Evren Tasci mengakui cabaran terbesar pasukannya dalam perlawanan peringkat kumpulan adalah Jeonbuk Hyundai Motors.
“Ini adalah kali pertama kami bersaing dalam ACL 2 kerana musim lepas kami beraksi dalam Piala AFC yang mana ia cukup mencabar pada masa sama kami berasa cukup teruja.
Bagi saya setiap pasukan dalam kumpulan ini sukar tetapi kalau mahu saya pilih cabaran terbesar kami sudah semestinya pasukan dari Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai kerana mereka merupakan pasukan terbaik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Evren berkata demikian selepas tamat Majlis Undian AFC Champions League Two (ACL 2) yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Undian tersebut menyaksikan Dynamic Herb Cebu telah diundi dalam Kumpulan H bersama Selangor FC (Malaysia), Muangthong United (Thailand) dan Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan).
Dalam pada itu, Evren berkata sasaran mereka untuk saingan ACL 2 adalah untuk cuba melepasi peringkat kumpulan.
“Sasaran pertama kami adalah untuk cuba melepasi peringkat kumpulan tapi seperti yang saya katakan ini adalah pertama kali kami beraksi di ACL 2 jadi kami akan mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan.”
Sementara itu, beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan pasukannya yang berpotensi untuk pergi dengan lebih jauh lagi di pentas Asia.