Tak letak sasaran tinggi tapi mahu kekalkan mata untuk layak ke World Tour – Soh Wooi Yik

40

Pemain badminton beregu negara, Soh Wooi Yik memberitahu beliau tidak meletak sasaran terlalu tinggi untuk baki kejohanan pada tahun ini sebaliknya mahu cuba mengekalkan mata ranking BWF supaya dapat layak ke BWF World Tour.

“Kita tinggal beberapa kejohanan sahaja dan dengan saya baru sahaja pulih dari kecederaan jadi saya tak letak sasaran tinggi tapi ranking kita masih dalam kedudukan Top 8.

Jadi sasaran saya adalah untuk ‘maintain’ mata di Terbuka China dan Terbuka Denmark kerana menawarkan mata tinggi yang mana ia boleh bantu kita untuk layak ke World Tour,”

katanya.

Wooi Yik berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan kenderaan kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 di Chery Bandar Bukit Puchong, Selangor.


Selain Wooi Yik, rakan beregunya Aaron Chia dan perseorangan utama negara Lee Zii Jia juga menerima ganjaran sama.

Selain hadiah kenderaan, ketiga-tiga mereka turut menerima ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM100,000 setiap seorang.

Terdahulu Aaron-Wooi Yik berjaya merangkul pingat gangsa selepas menewaskan beregu nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 pada aksi penentuan pingat gangsa.

Sementara itu, Wooi Yik juga memberitahu hadiah kereta utiliti sukan (SUV) yang diterima akan diberikan kepada keluarganya.