Pau Marti yakin penyokong yang ‘boikot’ turun stadium akan tetap sokong Harimau Malaya

60

Ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan, Pau Marti berkata beliau tidak dapat mengawal situasi di luar padang iaitu tindakan segelintir penyokong yang mahu memboikot perlawanan skuad Harimau Malaya pada kejohanan Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 yang akan membuka tirainya petang ini.

Menurut Pau Marti, biarpun kesal dengan situasi tersebut tetapi beliau tetap yakin penyokong yang mengambil keputusan untuk boikot turun ke stadium akan tetap menyokong skuad negara dengan menonton perlawanan di kaca televisyen.


“Ya kami tahu dengan situasi ini yang mana ia tidak ideal untuk pasukan kerana saya percaya setiap pasukan kebangsaan berhak mendapat sokongan padu daripada penyokong.

Tapi seperti yang saya katakana sebelum ini kami hanya boleh kawal apa yang berlaku dalam padang sahaja dan ini pemain-pemain akan cuba berikan yang terbaik dan berharap kami dapat keputusan positif.

Apa yang berlaku di luar padang saya harap siapa yang menyokong kami mereka akan datang dan kepada mereka yang tidak datang saya yakin mereka tetap menyokong pasukan kebangsaan jadi saya harap mereka akan tonton perlawanan di rumah,”

katanya.

Pau Marti akan mengharungi perlawanan pertama kendaliannya pada malam ini apabila turun menentang Filipina dalam aksi separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43.

Dalam pada itu, Pau Marti juga gembira melihat perkembangan sepanjang tempoh kem latihan pusat Harimau Malaya yang disifatkan sebagai positif.

“Setakat ini semuanya sangat positif baik dari segi pemain dan juga barisan kejurulatihan. Bagi saya apa yang berlaku pada masa lampau tidak akan menjejaskan kami jadi kami perlu ambil pengalaman yang ditimba dari perlawanan terdahulu. Apa yang kami boleh ubah adalah masa hadapan.

Jadi apa yang kita dapat lihat pada minggu ini sangat bagus dengan pemain-pemain cukup bermotivasi.”

Beliau pada masa turut mengucapkan terima kasih kepada PMX atas sumbangan dana berjumlah RM15 juta untuk pasukan kebangsaan.

Sementara itu, satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari yang sama, jam 4.30 petang.

Pemenang kedua-dua perlawanan akan bertemu di perlawanan akhir pada Ahad, 8 September jam 9.00 malam, manakala dua pasukan yang tewas akan bertemu untuk perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari sama jam 4.30 petang.