Kita tidak boleh cepat berpuas hati, masih banyak perkara boleh diperbaiki – Syamer Kutty Abba

35

Pemain tengah pasukan kebangsaan, Syamer Kutty Abba menegaskan bahawa mereka tidak boleh cepat berpuas hati dengan prestasi semasa kerana baginya masih banyak perkara yang boleh diperbaiki untuk masa hadapan.

“Apa yang benda baik kita perlu teruskan dan kita juga perlu perbaiki juga kerana kita tidak boleh berpuas hati kerana kita akan lawan dengan pasukan yang lebih kuat selepas ini.

Jadi kita perlu bekerja dengan lebih keras lagi untuk kita menjadi sebuah pasukan yang lebih baik,”

katanya.

Syamer berkata demikian selepas beliau membantu skuad Harimau Malaya menjulang trofi Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 selepas mereka menewaskan pasukan Lubnan 1-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam.


Beliau pada masa sama turut berkata kejayaan menjulang trofi Pestabola Merdeka ini cukup bermakna buat dirinya selepas beliau kecewa sebanyak dua kali pada aksi akhir sebelum ini.

“Piala ini sangat bermakna buat saya sebab saya dua kali kalah final dengan pasukan kebangsaan iaitu final Sukan SEA dan Piala AFF jadi piala ini salah satu tonik untuk diri dan karier saya dan saya akan berusaha lebih lagi untuk menjadi pemain yang lebih bagus.”

Dalam pada itu, Syamer juga berharap agar padang di SNBJ diperbaiki supaya ia berada pada tahap terbaik berikutan keadaan padang ketika perlawanan akhir berlangsung berada dalam keadaan yang agak tidak baik.

“Mengenai keadaan padang rasanya semua orang tahu macam mana yang mana ada yang tak okey. Jadi saya harap ia dapat dibaiki, semua orang perlu buat kerja masing-masing oleh itu kita tengok nanti macam mana keadaan padang.”

Kemenangan 1-0 ke atas Lubnan menyaksikan ketua jurulatih baharu Pau Marti berjaya bermula dengan langkah kanan apabila memperoleh dua kemenangan dalam dua perlawanan kendaliannya selepas mengambil alih tugas daripada Kim Pan-gon.