Martzy mahu buktikan kemampuannya beraksi di pentas MPL MY
Pemain e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) pasukan Team Monster Vicious (MV), Martzy memberitahu beliau mahu buktikan kemampuan beliau bersaing di Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL MY) untuk musim ke-14 ini selepas dipinjamkan dari pasukan Todak.
Menurut Martzy, pasukan Todak pada mulanya menolak permintaan MV untuk meminjam beliau tetapi selepas perbincangan dilakukan Todak melepaskannya.
“Sebenarnya saya sendiri minta dipinjamkan ke pasukan lain cuma pada awalnya mereka tak nak lepaskan saya tapi selepas perbincangan dilakukan Alhamdulillah mereka lepaskan sebab saya pun nak cari pengalaman di MPL,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Martzy berkata demikian selepas tamat perlawanan minggu pertama MPL MY musim ke-14 yang menyaksikan MV berjaya menewaskan Todak dengan keputusan 2-1.
“Saya nak buktikan kepada semua bahawa saya mempunyai potensi besar untuk bermain di MPL dan untuk musim ini saya dapat masuk pasukan lain yang bagus juga serta mempunyai jurulatih berkualiti jadi saya nak buktikan kemampuan saya.”
Dalam pada itu, Martzy turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan pasukan MV biarpun mereka menjadi satu-satunya pasukan yang dibarisi oleh pemain dan jurulatih tempatan.
Malah beliau juga berkata tidak mustahil untuk pasukan mereka menjadi pencabar utama kejuaraan MPL MY musim ini sekaligus cuba merebut slot ke M6 World Championship.
“Saya rasa semua pemain tempatan lebih kuat sebenanrya daripada import. Untuk MV ini dengan semua pemain tempatan jadi senang nak ‘polish’ dan kalau jurulatih tegur pun senang nak terima dan ‘bonding’ sesama pemain juga senang.”