Tubuhkan kelab badminton, langkah seterusnya buat Lee Zii Jia

453

Kelab Badminton Lee Zii Jia.

Itu perancangan jaguh perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia setelah meninggalkan BAM dan bergerak secara profesional.


Pengumuman ini mendapat reaksi yang positif daripada peminat-peminat badminton terutamanya di laman media sosial Twitter.

Persoalan yang kini bermain di minda peminat-peminat badminton seluruh dunia adalah sama ada penubuhan kelab badminton ini sebagai satu reaksi balas kepada BAM yang dilihat kini bergelut untuk mencari ramuan terbaik dalam membentuk pasukan yang ampuh untuk bersaing dalam kejohanan-kejohanan besar antarabangsa.

Cuma masih tidak dapat dipastikan lagi tujuan utama penubuhan kelab badminton ini, sama ada untuk meningkatkan prestasi pemain yang akan bernaung di bawah kelab tersebut, atau sekadar mengejar habuan tajaan lumayan?

Harus diingatkan bahawa LZJ pernah didekati beberapa jenama besar sukan badminton antarabangsa yang menawarkan kontrak yang bernilai jutaan ringgit. Biarpun dipujuk BAM dengan desas-desus penawaran gaji sehingga RM 1 juta, beliau tetap dengan pendiriannya. Dengan perletakan jawatan daripada mewakili BAM, sudah pasti lebih mudah untuk beliau berurusan dengan mana-mana penaja selepas ini.

Seterusnya, keputusan LZJ untuk membawa masuk jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya juga menimbulkan sedikit tanda tanya. Apakah kelebihan jurulatih tersebut berbanding Hendrawan yang sudah sekian lama melatih LZJ semasa di BAM?

Umum mengetahui hubungan Hendrawan dan LZJ cukup akrab sehinggakan jurulatih berusia 49 tahun itu acap kali mempertahankan beliau biarpun beraksi longlai dalam beberapa kejohanan.

Jika diamati, rekod Indra Wijaya bersama LZJ juga baik apabila pernah bersama-sama sewaktu LZJ berada dalam skuad junior kebangsaan. Adakah mungkin ianya pilihan paling tepat untuk melantik individu yang begitu mengenali corak permainan beliau?

Untuk mewujudkan satu kelab sukan, perkara asas adalah bagaimana untuk terus relevan dalam jangka masa panjang. Sehingga sekarang masih tidak dapat dipastikan lagi apa perancangan LZJ dengan penubuhan kelab badmintonnya itu. Adakah bekas-bekas pemain badminton kebangsaan akan menjadi pemain-pemain yang bernaung di bawah kelab tersebut?

Biarpun persoalan-persoalan yang dilontarkan tidak dapat dipastikan jawapan yang sebenarnya, peminat-peminat sukan badminton akan sentiasa menyokong tindakan LZJ yang berusaha untuk menempatkan diri dalam kalangan pemain-pemain elit badminton dunia.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen