Thailand dan Singapura jadi pilihan kelab EPL, Malaysia terus tercicir
Ada ura-ura di laman media sosial terutamanya di Twitter yang menyatakan bahawa dua pasukan gergasi EPL, Liverpool dan Manchester United akan terbang jauh ke Asia Tenggara untuk perlawanan pramusim 2022/2023.
Berkemungkinan besar seperti yang dilaporkan dua destinasi yang menjadi persinggahan pasukan gergasi ini adalah Thailand dan Singapura. Liverpool dijangka akan menentang United di Bangkok pada 12 Julai dan seterusnya terbang ke Singapura untuk bertemu Crystal Palace tiga hari kemudian.
#LFC in talks to play two lucrative games in Asia this summer. Likely to be United in Bangkok and Palace in Singapore. https://t.co/SXoUytCdld
— James Pearce (@JamesPearceLFC) February 14, 2022
Kali terakhir Malaysia menjadi destinasi kelab-kelab tersebut adalah pada tahun 2015 di mana Tottenham Hotspur dan Liverpool menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai medan untuk mencari keserasian sebelum musim bermula.
Selepas dari itu, nama Malaysia seolah-olah tercicir daripada menjadi destinasi utama. Entah di mana silapnya, hendak dikata fasiliti tidak canggih atau tidak ada penyokong?
Kini negara-negara jiran seperti Thailand dan Singapura menjadi destinasi pilihan buat kelab-kelab besar di dunia. Mungkin ada tarikan tertentu yang menyebabkan dua buah negara ini menjadi pilihan.
Seperti yang diketahui, benua Asia merupakan antara kawasan yang mempunyai peminat yang cukup ramai buat kedua-dua pasukan tersebut termasuklah Malaysia. Sebut sahaja penyokong kedua-dua pasukan ini, sudah pasti mewakili kebanyakan peminat-peminat bola sepak luar negara terutamanya EPL.
Pasukan kebangsaan Malaysia juga telah berpeluang beberapa beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang kedua-dua pasukan tersebut.
Manchester United pada tahun 2009 pernah mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan pada 18 dan 20 Julai 2009 yang ketika itu dikendalikan oleh Datuk K.Rajagobal mempamerkan aksi bertenaga biarpun tumpas 2-3 dan 0-2 dalam kedua-dua perlawanan.
Amri Yahyah mencetuskan sensasi apabila menjaringkan dua gol termasuk satu gol cantik dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
Selain United, Liverpool juga pernah berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Kali terakhir, skuad yang berpengkalan di Merseyside ini melakukan jelajah pramusim adalah pada tahun 2015.
Skuad Malaysia XI kendalian Dollah Salleh pada ketika itu turut dibarisi oleh pemain-pemain import yang beraksi dalam liga Malaysia seperti Patrick Ronaldinho Wleh, Thiago Junior, Zah Rahan, Charles Chad Souza dan Vincent Bikana.
Dalam perlawanan yang berlangsung pada 24 Julai 2015 itu, skuad Malaysia XI mencipta kejutan mendahului pada minit ke-13 menerusi Patrick Wleh sebelum Jordon Ibe menyelamatkan maruah skuad bimbingan Brendan Rodgers pada ketika itu menerusi jaringan minit ke-28.
Itulah kali terakhir Malaysia menjadi destinasi pasukan-pasukan besar dunia untuk melakukan jelajah pramusim. Selepas itu, walaupun pasukan ini singgah di Asia Tenggara, pilihan utama mereka lebih terarah ke Thailand mahupun Singapura.
Nampaknya, peminat-peminat bola sepak luar negara di Malaysia terpaksa menunggu lebih lama untuk menyaksikan bintang-bintang ternama beraksi di depan mata.