Jaciah Jumilis yakin Sabah FA mampu buat kejutan di AWCL
Pemain bola sepak wanita Sabah FA, Jaciah Jumilis menyuarakan keyakinan beliau terhadap kemampuan pasukan itu untuk melangkah jauh dalam saingan AFC Women’s Champions League (AWCL) yang akan berlangsung pada bulan hadapan.
Menurut Jaciah atau lebih mesra dengan panggilan JJ, kehadiran pemain import serta dua pemain kebangsaan Malayan Tigress iaitu Steffi Sidhu dan Intan Serah akan memantapkan lagi skuad mereka.
“Dengan bantuan pemain import, Steffi dan Intan Serah saya percaya Sabah boleh buat,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selain membuat persiapan untuk kejohanan AWCL, Sabah juga kini membuat persiapan untuk aksi Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 menentang Selangor FC hujung minggu ini.
Dalam pada itu, JJ turut mengakui dengan jadual padat untuk saingan liga domestik dan kejohanan di pentas Asia membuatkan setiap pemain berasa penat tetapi mereka tetap akan fokus untuk buat yang terbaik dan akan cuba mengelak dari mengalami sebarang kecederaan.
“Setakat ini agak penat sedikit sebab dalam seminggu ini kami ada ‘back to back game’ menentang Real CJ dua kali dan kemudian menentang Selangor pula, jadi agak penat dengan jadual yang padat.
Saya sendiri sememangnya sangat mengutamakan ‘recovery’ sejak dari dulu bagi memastikan saya tidak cedera dan kekal cergas.”
Untuk saingan AWCL, Sabah telah diundi dalam Kumpulan A bersama kelab gergasi lain seperti Wuhan Jiangda (China), Incheon Red Angels (Korea Selatan) dan Abu Dhabi Country Club (UAE).