Dek penangan netizen, pusingan awal BATC kini disiarkan secara langsung!

197

Tekanan yang diberikan oleh netizen-netizen terutamanya di laman Twitter ternyata membuahkan hasil apabila pihak Majlis Sukan Negeri Selangor dalam satu ciapannya mengesahkan akan mengadakan siaran langsung aksi pasukan Malaysia bermula pada hari ini.

Hal in berlaku disebabkan tindakan penganjur iaitu Badminton Asia dan MSN Selangor yang hanya akan menyiarkan perlawanan bermula pada 18 Februari sehingga 20 Februari sahaja. Sememangnya perkara ini telah mencetuskan kemarahan buat para peminat badminton yang ingin menyaksikan pemain-pemain pilihan mereka beraksi sejak dari pusingan awal.


Seperti agak ironi jika membandingkan kenyataan penganjur pertandingan yang menyasarkan seramai 1 juta penonton yang akan menyaksikan kejohanan yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City dengan ketiadaan siaran langsung.

Bagaimana mahu menarik jumlah penonton seramai itu jika siaran langsung pun tiada? Apatah lagi jika mengambil kira jumlah penonton yang dibenarkan masuk ke venue pertandingan yang hanya dihadkan kepada cuma 200 penonton? Sememangnya sasaran in tidak langsung masuk akal.

Itu belum lagi mengambil kira ketidakpuasan hati peminat-peminat dari negara lain yang inginkan aksi pasukan negara mereka ditayangkan secara langsung. Mungkin juga tindakan penganjur yang menyediakan siaran langsung ini sekadar lepas tangan hanya untuk memenuhi kehendak peminat-peminat badminton tempatan.

Timbul pertanyaan di sini adakah pihak penganjur tidak peka dengan situasi yang sedang berlaku. Kejohanan ini merupakan kejohanan besar di benua Asia yang melibatkan beberapa buah negara yang lain bukan hanya untuk Malaysia sahaja.

Ada peminat membandingkan tindakan Badminton Asia dengan Badminton Europe dalam memberikan liputan terbaik kejohanan yang berlangsung. Misalnya, Kejuaraan Badminton Eropah disiarkan penuh secara langsung oleh Badminton Europe.

Peminat juga turut membandingkan usaha yang dilakukan oleh Badminton Europe memberikan akses tontonan biarpun ianya hanya melibatkan kejohanan-kejohanan kecil sahaja. Beliau juga mempersoalkan tindakan Badminton Asia yang dilihat gagal biarpun majoriti pemain-pemain datang dari benua Asia.

Tidak dapat dipastikan sama ada penganjur iaitu Badminton Asia dan MSN Selangor sebelum itu telah melakukan rundingan bersama pihak penyiar rasmi dalam memberikan liputan terbaik untuk kejohanan sebesar ini. Jika tidak, ternyata ianya merupakan satu kegagalan besar untuk pihak penganjur dalam memberikan nilai kepada kejohanan yang beprestij ini.

Harus diingatkan ini bukan kejohanan bertaraf negeri atau kebangsaan, ianya bertaraf antarabangsa yang mengumpulkan pemain-pemain yang berada dalam ranking badminton dunia. Bagaimana mahu menganjurkan kejohanan yang lebih besar jika isu sekecil ini tidak dapat diselesaikan?

Selain itu, penggunaan nama rasmi kejohanan sebagai Selangor Badminton Asia Team Championships 2022 juga sedikit menimbulkan tanda tanya. Mungkin disebabkan penganjurannya di negeri Selangor? Ataupun disebabkan oleh Selangor pertama kali menganjurkan kejohanan seumpama ini di mana MSN Selangor bertindak sebagai pengelola kejohanan.