Kita sudah buat persiapan lebih tiga bulan! Borneo Cup akan beri pendedahan yang baik untuk pemain – Nazam Zainal Abidin

24

Pengurus pasukan TSS Selangor B-11, Nazam Bin Zainal Abidin memberitahu bahawa pasukannya sudah pun membuat persiapan selama tiga bulan bagi menghadapi kejohanan Borneo Cup 2024 yang berlangsung di Sabah.

Menurut Nazam, untuk kejohanan kali ini pasukannya akan bermain dengan 11 sebelah yang mana merupakan pengalaman baru buat pemain-pemainnya, oleh itu beliau tidak meletakkan harapan tinggi sebaliknya berkata mereka akan buat yang terbaik.


“Alhamdulillah, kalau ikutkan kita sudah mula menjalani latihan untuk kejohanan ini kira-kira tiga bulan lepas jadi kita nampak pemain-pemain ini sudah bersedia dan mereka akan cuba bermain dengan baik sebab ini pengalaman pertama mereka bermain 11 sebelah dan padang dewasa.

Pada saya timba pengalaman itu penting kerana apabila mereka berusia 13 tahun kelak mereka tetap akan bermain padang besar jadi bila pengalaman itu sudah ada saya harap kitab oleh menang jugalah tapi kalau tiada rezeki kita nak buat macam mana kan tapi apa yang pasti kita akan buat yang terbaik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Nazam berkata TSS Selangor bukan sahaja aktif menyertai kejohanan bola sepak di dalam negara sahaja tetapi juga di luar negara.

“Kita memang aktif juga dalam menyertai kejohanan kompetitif dalam negara dan juga luar negara. Biasanya kita akan tengok ‘game’ itu macam mana, jadi kita rasa Borneo Cup ini kompetitif kerana ia turut disertai oleh beberapa kelab dari luar negara.”

Untuk kejohanan Borneo Cup 2024, selain kelab-kelab dari Malaysia beberapa kelab dari luar negara seperti Hong Kong dan Filipina turut sama bertanding.