Pemain sudah buktikan mereka sudah bersedia untuk bersaing di Borneo Cup – Azrul Ariff
Jurulatih TSS Selangor, Mohd Azrul Ariff cukup teruja melihat prestasi pemain-pemainnya yang telah memperlihatkan kemampuan mereka sekaligus membuktikan mereka sudah bersedia untuk bersaing di Borneo Cup 2024.
Azrul berkata demikian selepas pasukannya berjaya memperoleh kemenangan besar pada hari pertama kejohanan iaitu menewaskan pasukan Anak Badak dengan keputusan 8-0 dan MMT juga dengan keputusan 8-0.
“Syukur Alhamdulillah sudah hampir tiga bulan kita buat persiapan dan hari ini pemain-pemain sudah tunjukkan dan buktikan kepada kami semua yang mereka mampu bersaing di Borneo Cup pada tahun ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau pada masa sama gembira melihat persembahan pasukannya biarpun mereka kali pertama bermain dalam kejohanan 11 sebelah.
“Mereka (pemain-pemain) sudah terbiasa dengan kejohanan-kejohanan yang kita sudah sertai sebelum ini dan sedikit sebanyak ada juga kekurangan cuma apa perancangan saya dan juga Coach Amin yang membuatkan mereka bersedia dan mampu bersaing dalam kejohanan ini.”
Dalam pada itu, Azrul juga berkata pihaknya sudah pun membuat perancangan rapi untuk kejohanan ini dan menyerahkan kepada takdir samada mereka mampu pergi dengan lebih jauh dalam kejohanan ini atau tidak.
Sementara itu, beliau turut mengakui bakat-bakat di negeri Sabah cukup bagus namun mereka perlukan lebih banyak lagi pertandingan untuk pergi lebih jauh.
“Mereka (bakat Sabah) ini sangat bagus cumanya mereka ini perlukan lebih banyak pertandingan untuk dapat pendedahan.
Dengan penyertaan banyak kejohanan mereka akan dapat tingkatkan taraf bola sepak mereka.”