Akademi JDT adalah penanda aras dan jika negeri lain terus berkembang ia akan beri manfaat kepada negara – Scott Ollenrenshaw

50

Bekas pemain bola sepak lagenda Sabah, Scott Ollerenshaw mengakui bola sepak di Malaysia semakin memperlihatkan peningkatan yang positif dan boleh terus dipertingkatkan menerusi pembangunan akar umbi.

Menurut Ollerenshaw, tidak dapat dinafikan kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan sahaja hebat di peringkat senior tetapi juga hebat di peringkat junior dengan mempunyai pembangunan akar umbi yang cukup hebat.


“Untuk meningkatkan mutu bola sepak tanah air pada pandangan saya kita perlu seragamkan program pembangunan akar umbi di setiap negeri yang mana ia mempunyai senarai kriteria yang perlu diikuti di setiap negeri.

Kita juga perlu lebih fokus pada pembangunan junior berbanding senior kerana di peringkat senior apabila mereka sudah mencapai satu umur mereka tidak boleh ‘improve’ tapi anda boleh ‘improve’ pemain-pemain berusia 11, 12, 13 dan 14 tahun.

Bagi saya bola sepak Malaysia semakin meningkat dan sudah tentunya kitab oleh tingkatkan lagi. Sudah tentu JDT sebagai penanda aras dan saya bercakap mengenai junior dan bukannya senior. Di peringkat junior ia bukannya mengenai wang tapi ‘passion’ dan jika setiap negeri dapat terus berkembang ia akan beri manfaat kepada bola sepak negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kejohanan Borneo Cup 2024 yang sedang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah yang mana beliau merupakan pengasas kejohanan tersebut.

Kejohanan tersebut bukan sahaja disertai oleh kelab dari Malaysia tetapi juga dari luar negara seperti Filipina dan Hong Kong.

Sementara itu, Ollerenshaw yang menyarung jersi The Rhinos dari tahun 1994 hingga 1997 telah melakukan sebanyak 106 penampilan dan berjaya menjaringkan 110 gol.