Aksi menentang Sabah FC ditunda, KDA FC kini fokus perlawanan menentang TFC hujung minggu ini

133

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) terpaksa bermain sebanyak dua perlawanan sahaja untuk saingan Liga Super pada bulan September ini selepas perlawanan liga ke-12 mereka menentang Sabah FC terpaksa ditunda.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu akan ditunda ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan nanti berikutan stadium tersebut kini sedang menjalani proses naik taraf.


Oleh itu, Nafuzi Zain akan memberi tumpuan untuk mempersiapkan pasukan untuk aksi seterusnya menentang pasukan gergasi Pantai Timur yang juga merupakan bekas pasukan kendaliannya iaitu Terengganu FC.

Aksi tersebut akan berlangsung pada Sabtu 19 Oktober di Stadium Darul Aman yang mana sudah pastinya Nafuzi mahu pastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka biarpun sedar cabaran besar menanti mereka.

Semua sedia maklum bahawa Sang Kenari kini berdepan masalah kewangan yang agak parah sehingga menyebabkan aksi menentang KL City FC sebelum ini dibarisi oleh pemain-pemain muda menyebabkan mereka mengalami kekalahan besar.

Kedah bagaimanapun kembali dengan pemain utama dan mereka telah mempamerkan aksi yang cukup menarik untuk mengikat Sri Pahang FC 2-2 minggu lepas.

Sementara itu, skuad Hijau Kuning itu kini berada di kedudukan ke-10 Liga Super selepas mengutip sembilan mata.

Diharap Kedah akan menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sekaligus dapat mengembalikan zaman kegemilangan gergasi utara itu. Pulun Kedah Pulun!