Memang mencabar lawan pasukan dari Hong Kong dan gembira dapat jadi juara – Anas Rayyan

36

Pemain pertahanan pasukan TSS Selangor, Anas Rayyan mengakui berdepan cabaran yang cukup besar dalam perlawanan akhir kejohanan Borneo Football Cup 2024 apabila mereka berdepan pasukan HKJFL FC dari Hong Kong.

Anas bagaimanapun gembira apabila mereka berjaya menewaskan HKJF dengan keputusan 3-0 untuk menjulang trofi kejuaraan.


“Perlawanan tadi memang mencabar sebab pasukan Hong Kong memang kuat jadi kita kena berikan 100%, dengar apa yang Coach cakap pasti boleh menang.

Cuaca hujan menjadikan perlawanan lebih sukar kerana perlu berhati-hati dalam membuat hantaran bagi memastikan ‘first touch’ bola tidak ke depan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Anas lagi, biarpun pemain-pemain pasukan lawan mempunyai saiz fizikal yang lebih besar tetapi mereka tidak gentar dan bermain mengikut perancangan yang telah ditetapkan oleh jurulatih.

Dalam pada itu, Anas juga cukup teruja dan gembira apabila berjaya menjulang trofi kejuaraan setelah sekian lama tidak memperoleh kejayaan di peringkat antarabangsa.

Anas pada masa sama turut memberitahu beliau akan terus bekerja keras bagi memastikan impiannya untuk diserap ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan menyarung jersi pasukan kebangsaan Harimau Malaya menjadi kenyataan.