Pembangunan akar umbi di Hong Kong semakin positif selepas COVID-19 – John Powell
Ketua jurulatih kelab HKJFL dari Hong Kong, John Powell memberitahu program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi di negara itu semakin memperlihatkan perkembangan yang positif selepas pandemik COVID-19.
“Ia semakin berkembang kerana sebelum ini ia terjejas dek pandemik COVID-19 yang mana saya rasa semua pihak juga terkesan tapi program pembangunan kini bersambung semula yang mana kita dapat melihat pemain-pemain berusia bawah 11 tahun tidak dapat beri prestasi terbaik dek terjejas dengan pandemik.
Tapi ketika ini untuk pemain untuk peringkat bawah semakin bagus dan kita mempunyai program pembangunan yang agak baik dan saya yakin kita punya potensi besar untuk masa hadapan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Powell berkata demikian selepas tamat perlawanan akhir Malaysia Borneo Football Club 2024 yang menyaksikan pasukannya terpaksa akur apabila tewas 3-0 kepada pasukan dari Malaysia iaitu TSS Selangor yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.
“Pasukan kami bukan dari akademi tapi pemain-pemain ini dipilih dari pelbagai kelab jadi kami datang untuk satu kejohanan ini yang mana mereka tidak pernah bermain bersama.”
Beliau turut mengakui banyak perkara boleh dipelajari daripada perlawanan akhir terutamanya mengenai corak permainan TSS Selangor.
“Kita sepatutnya boleh pulang dan buat analisis persembahan menentang TSS dengan melihat corak permainan mereka, ‘first touch’, pergerakan bola dan belajar dari itu kemudian datang semula bermain dengan mereka.
Bagi saya itu adalah perkara yang perlu dilakukan iaitu bermain dengan pasukan yang lebih dari anda, ambil pengajaran dan terus mencuba.”
Sementara itu, Powell juga berkata bakat-bakat di negeri Sabah mempunyai potensi besar tapi mereka perlu terus bermain dengan pasukan yang lebih baik jika mahu tingkatkan kualiti permainan mereka.