Kalau menang bonus! Yang penting pemain bermain dengan teknik yang betul – Nizzamuddin Abd Hamid
Ketua jurulatih pasukan Anak Badak FC, Nizzamuddin Abd Hamid memberitahu bahawa penyertaan mereka dalam kejohanan Malaysia Borneo Football Cup 2024 bukan hendak mengejar kejuaraan sebaliknya mahu berikan pendedahan dan minit permainan kepada pemain.
“Sasaran kami daripada Anak Badak, rata-rata pemain kami adalah B-8 dan B-10 yang mana tujuan kami adalah untuk mendapatkan minit permainan dan juga mengambil pengalaman untuk anak-anak ini.
Ini adalah program untuk anak-anak muda yang mana kami tidak mengejar kejuaraan. Kalau kita menang ia ibarat bonus tapi apa yang penting adalah pemain bermain dengan teknik yang betul,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, pengurus pasukan Mazhair Shahroz Muhasiplp pula berkata penyertaan mereka pada kejohanan ini adalah untuk mendedahkan pemain-pemain dengan kejohanan berkualiti tinggi.
“Tujuan kita adalah mahu pemain-pemain ini dapat pendedahan bagaimana bermain bola sepak untuk ‘level-level’ yang membolehkan mereka pergi ke peringkat lebih tinggi.”
Beliau pada masa sama turut mengakui berdepan cabaran besar dalam menguruskan kelab ini terutamanya dari segi fasiliti.
“Antaranya fasiliti, bajet dan faktor geografi yang menjadi cabaran buat kami untuk mencari pemain-pemain berkualiti dari luar Kota Kinabalu.”
Pada kejohanan tersebut, pasukan daripada Malaysia iaitu TSS Selangor telah berjaya menjadi juara selepas menewaskan pasukan dari Hong Kong, HKJFL dengan keputusan 3-0 pada aksi final.