Peluang Harimau Muda untuk layak ke Piala Asia B-20 2025 cerah
Ketika ini sedang berlangsungnya kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Dushanbe, Tajikistan yang menyaksikan pasukan kebangsaan B-20 Malaysia bersaing dalam Kumpulan E.
Selepas dua perlawanan menentang Oman dan DPR Korea, skuad Harimau Muda telah mengumpul empat mata untuk berada di kedudukan kedua kumpulan.
Melihat pada prestasi semasa, skuad kendalian Juan Torres Garrido mempunyai peluang cerah untuk layak ke Piala Asia sekiranya mendapat keputusan positif dalam baki dua aksi selepas ini.
Skuad negara akan bertemu dengan pasukan Tajikistan pada Jumaat, 27 September yang mana ia mungkin akan menjadi penentu untuk kumpulan tersebut.
Tajikistan yang berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan hanya tiga mata hasil kemenangan ke atas pasukan Sri Lanka dilihat bergelut dan skuad negara perlu mengambil kesempatan ini untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik negara.
Perlawanan terakhir skuad negara adalah menentang Sri Lanka yang mana boleh dikatakan perlawanan yang sedikit mudah berikutan pasukan itu sudah tewas dalam ketiga-tiga perlawanan sekaligus sudah tersingkir.
Oleh itu, skuad negara perlu memastikan enam mata menjadi milik mereka untuk memastikan peluang mereka untuk layak ke Piala Asia menjadi kenyataan.
Sebanyak 10 pasukan selaku juara kumpulan bersama lima pasukan tempat kedua terbaik kumpulan akan layak ke pusingan akhir bersama tuan rumah, China ke Piala Asia B-20 2025 yang akan berlangsung pada 6 hingga 23 Februari 2025.