Biarpun kita main di tempat sendiri tapi Borneo FC tetap pasukan pilihan – Giancarlo Gallifuoco
Pemain import KL City FC, Giancarlo Gallifuoco memberitahu mereka adalah pasukan ‘underdog’ menjelang perlawanan kedua peringkat kumpulan ASEAN Club Championship (ACC) 2024/25 menentang kelab dari Indonesia iaitu Borneo FC malam ini.
Menurut Giancarlo Gallifuoco atau lebih mesra dengan panggilan GG, biarpun KL City bermain di tempat sendiri di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur tapi beliau berkata Borneo adalah pasukan pilihan.
“Bukan saya ingin bermain ‘mind game’ tapi saya rasa kami adalah pasukan ‘underdog’ dan mereka (Borneo) adalah pasukan pilihan tapi kami akan buat seperti biasa iaitu bekerja keras untuk dapatkan keputusan positif biarpun sedar ia tugas yang mencabar.
Memang kita bermain di tempat sendiri tapi saya tetap merasakan mereka adalah pasukan pilihan dan saya suka dengan situasi ini,”
katanya.
Dalam pada itu, GG juga memberitahu beliau sendiri tidak terlalu memikirkan mengenai sasaran sebaliknya mahu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
GG pada masa sama turut mengakui tempoh rehat panjang dari saingan liga sedikit sebanyak akan menjejaskan rentak.
“Bila rehat terlalu lama ia sedikit sebanyak akan menjejaskan rentak kami.”
KL City yang berada dalam Kumpulan B kini menduduki tangga ketiga kumpulan hasil satu kemenangan dan berkongsi kedudukan dengan dua pasukan teratas.
Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati iaitu separuh akhir.