BRM FC sasar main di saingan Piala AFC pada 2030

419

Kelab dari Kuala Kangsar, Perak iaitu BRM FC yang kini bersaing dalam Liga M3 meletakkan sasaran untuk bermain di saingan Piala AFC pada 2030.

Untuk mencapai sasaran mereka itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Ghafari Muhamad Nasir mahu pemain-pemainnya muncul juara Liga M3 pada musim ini sekaligus dapat naik ke Liga Perdana pada musim hadapan.


“Untuk tahun ini kita memang nak menjuarai Liga M3 sebab kita memang nak naik ke Liga Perdana kerana kita tidak mahu menunggu masa yang lama bersaing dalam M3.

Ini kerana di Liga M3 pun perbelanjaan kami pun sekitar RM800 ribu ke RM1 juta, jadi lebih baik kami berada di Liga M3 untuk semusim sahaja,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: BRM FC Facebook

Tambah Ghafari lagi, mereka mempunyai visi dan misi iaitu mahu BRM layak bermain di saingan Piala AFC menjelang tahun 2030.

Beliau bersyukur kerana musim ini BRM telah ditaja oleh beberapa syarikat yang membantu dalam soal perbelanjaan pasukan.

Bagaimanapun BRM sendiri turut mempunyai perancangan untuk menjana pendapat mereka sendiri menerusi perniagaan minuman isotonik yang dijadual akan dilancarkan pada tahun ini.

Dalam pada itu, Ghafari turut memaklum bahawa pihak pengurusan BRM sentiasa teliti dalam perancangan kewangan bagi memastikan perjalanan pasukan sepanjang musim tidak akan terganggu.

“Kami pihak pengurusan sudah meneliti dan membuat perancangan kewangan mengikut kesesuaian dan cuba elak boros sebaliknya ‘ukur baju di badan sendiri’ apabila berbelanja supaya tiada masalah kewangan akan berlaku.”

Sumber foto: BRM FC Facebook

Sementara itu, Ghafari turut menyuarakan keyakinannya bahawa BRM mampu menarik peminat-peminat baru terutamanya peminat dari pasukan utama iaitu Perak FC sendiri.

Peminat bola sepak sudah mula memberi perhatian kepada BRM dan ia telah dibuktikan menerusi penjualan jersi yang dikatakan sangat memberangsangkan.

BRM FC menjadi pasukan pilihan untuk menjuarai saingan Liga M3 berikutan kehadiran bekas pemain Liga Super iaitu Azmeer Yusof, Fakri Saarani dan beberapa lagi.