Saya tak peduli siapa jaring gol, yang penting kita menang – Brendan Gan
Pemain sensasi KL City FC, Brendan Gan memberitahu beliau tidak peduli siapa yang menjaringkan gol sebaliknya apa yang penting baginya adalah pasukannya memperoleh kemenangan.
Brendan berkata demikian selepas tamat perlawanan kedua peringkat dalam saingan ASEAN Club Championship (ACC) 2024/2025 yang menyaksikan KL City berjaya menewaskan kelab dari Indonesia iaitu Borneo FC dengan keputusan 1-0 hasil jaringannya.
“Saya sebenarnya tidak peduli dengan gol jaringan saya atau siapa yang jaringkan gol kerana apa yang penting kita dapat kemenangan.
Saya bernasib baik kerana bola dapat kepada saya dan saya berjaya jaringkan gol. Tapi sekali lagi tidak kisah siapa yang jaringkan gol apa yang penting kita dapat tiga mata penuh,”
katanya.
Kemenangan kedua di ACC menyaksikan skuad The City Boys kini berada di kedudukan kedua dengan berkongsi mata sama dengan pendahulu Kumpulan B iaitu Cong An Hanoi yang mempunyai kelebihan jaringan.
Dalam pada itu, Brendan turut mengakui perbezaan ketara di antara bermain dalam saingan liga domestik dan kejohanan antarabangsa adalah mereka tidak tahu mengenai pihak lawan dengan lebih mendalam.
“Perbezaan adalah kita tidak tahu banyak mengenai pasukan lawan dan persiapan kami juga sangat dekat dengan perlawanan Liga Super yang mana selepas ini kami akan menentang Penang FC dalam masa dua tiga hari.
Jadi ia sangat berbeza bermain di liga domestik dan ACC. Apa yang kami boleh buat adalah untuk ikut perancangan yang sudah diatur dan berharap perkara baik akan datang daripada itu.”
Sementara itu, Brendan juga berharap agar KL City dapat sekali lagi mencipta sejarah dalam kejohanan ACC seperti mereka lakukan pada kejohanan Piala AFC 2022 lalu.
Beliau bagaimanapun enggan memikirkan terlalu jauh, sebaliknya berkata mereka akan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan.