Pieter Huistra terpaksa akur pulang tangan kosong biarpun berjaya kuasai permainan
Ketua jurulatih Borneo FC, Pieter Huistra mengakui beliau terpaksa akur apabila pasukannya tewas kepada KL City FC biarpun berjaya menguasai hampir keseluruhan permainan.
“Apabila bermain di peringkat antarabangsa ia sentiasa berbeza. Saya tidak boleh salahkan pemain-pemain saya kerana kita berjaya menguasai hampir keseluruhan permainan tapi ia bukannya boleh menjadi penentu perlawanan yang mana anda boleh lihat satu kesilapan kita dihukum.
Tapi saya rasa kita berhak dapat lebih pada perlawanan ini namun kita terpaksa akur dan terima keputusan ini,”
katanya.
Pieter Huistra berkata demikian selepas tamat perlawanan kedua peringkat kumpulan saingan ASEAN Club Championship (ACC) 2024/2025 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di mana Borneo terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas tewas 1-0.
Beliau berkata untuk perlawanan seterusnya mereka perlu lebih bersabar dan perlu menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin.
Dalam pada itu, Pieter Huistra juga menafikan pemain-pemainnya keletihan selepas terpaksa bermain dua perlawanan dalam tempoh tiga hari.
“Tidak! Saya rasa mereka bermain dengan baik dan mempunyai fizikal yang kuat kerana kami berlatih dengan keras.
Itulah bola sepak, anda perlu bersedia apabila tiba hari perlawanan.”
Sementara itu, Pieter Huistra masih mempunyai keyakinan terhadap peluang Borneo untuk mara ke peringkat kalah mati sekiranya mereka dapat menang baki perlawanan kumpulan.
“Kalau menang baki tiga perlawanan lagi, kami akan layak.”