Yang muda atau yang berpengalaman jadi pilihan?

209

Teka-teki berhubung siapa yang akan dilantik sebagai pembantu jurulatih kepada Kim Pan-Gon kini sedang hangat diperkatakan memandangkan pengumuman barisan kejurulatihan yang diketuai oleh pengendali dari Korea Selatan itu akan dibuat pada hari Khamis, 17 Februari 2022.

Kriteria yang dimahukan oleh beliau adalah calon tersebut hendaklah mempunyai pengalaman yang luas dalam kancah liga Malaysia dan telah membuktikan kemampuan mereka dalam pentas bola sepak tempatan.


Jika disenarai pendek, terdapat beberapa nama yang dirasakan berpotensi besar untuk menjadi calon paling cocok menjadi pembantu jurulatih untuk pengendali itu.

Shukor Adan

Siapa tidak kenal The Boss?

Pemain senior paling dihormati di dalam kancah bola sepak Malaysia ini sebenarnya baru sahaja meneruskan karier bola sepaknya dengan menjadi pembantu jurulatih skuad KL City FC. Boleh dikatakan beliau tahu hampir keseluruhan selok-belok kancah bola sepak Malaysia memandangkan beliau telah beraksi sekian lama dengan pasukan kebangsaan.

Berpengalaman luas mewakili skuad senior kebangsaan dan mampu untuk menjadi pembimbing kepada para pemain menjadi satu nilai tambah buat Shukor sekiranya beliau dipilih untuk menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan. 24 tahun beraksi dalam kancah bola sepak tempatan dan mewakili negara membuktikan bahawa beliau merupakan calon yang dirasakan layak untuk mengisi jawatan tersebut.

Pemain-pemain yang bakal dipanggil menyertai skuad kebangsaan juga kebanyakkannya kenal dan tahu peribadi Shukor dan cara beliau memberikan motivasi kepada pemain semasa dalam perlawanan.

Sumber: Malaysia Post

Nafuzi Zain

Jurulatih skuad Terengganu FC yang berusia 43 tahun ini dicanang-canang sebagai calon utama untuk mengisi kekosongan itu.

Bermula daripada mengambil alih tugasan melatih skuad Peteh pada pertengahan 2019, beliau berjaya merubah wajah permainan skuad Terengganu pada ketika itu. Corak permainan cantik yang dikenali sebagai “Nafuzi Ball” ternyata berjaya menambat hati peminat-peminat bola sepak tempatan khususnya peminat Terengganu.

Calon jurulatih terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 itu juga mempunyai rekod baik bekerjasama dengan pemain-pemain muda di Terengganu. Nama-nama seperti Hakimi Abdullah, Arif Fadzilah dan Shahrul Nizam Ros Hasni merupakan antara pemain yang diberikan peluang beraksi sehingga dapat mengetuk pintu skuad utama kebangsaan.

Pencapaian bersama skuad TFC boleh juga dibanggakan apabila berjaya membantu skuad dari pantai timur itu meraih kedudukan empat teratas dalam liga untuk dua musim berturut-turut pada 2020 dan 2021. Selain itu, pencapaian mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2021 juga turut menjadi antara pencapaian terbaik Nafuzi bersama skuad TFC.

Sumber: Berita Harian

Nidzam Jamil

Pembantu jurulatih skuad utama Selangor FC berusia 41 tahun ini juga merupakan antara calon berpotensi untuk mengisi jawatan pembantu kepada pengendali dari Korea Selatan itu.

Berpengalaman menjulang kejuaran Liga FAM bersama KL SPA FC sebagai jurulatih ketika baru berusia 32 tahun membuktikan bahawa beliau mempunyai potensi yang tinggi sekiranya layak untuk mengisi jawatan sebagai orang penting dalam barisan kejurulatihan skuad negara.

Selain itu juga, Nidzam pernah menjadi pembantu kepada B.Sathianathan ketika bersama Felda United pada 2017 dan seterusnya dilantik sebagai ketua jurulatih pada 2019.

Seorang jurulatih muda berbakat besar, beliau juga mampu untuk bekerjasama dalam menampilkan pemain-pemain muda berbakat untuk menyarung jersi skuad senior kebangsaaan.

Sumber: Stadium Astro

E.Elavarasan

Siapa tidak kenal beliau?

Jurulatih Sarawak United berusia 57 tahun ini mempunyai latar belakang kejurulatihan yang tidak boleh disangkal lagi.

Bermula daripada membimbing Public Bank FC memenangi Liga FAM, bersaing di Liga Premier dan dinaikkan pangkat ke Liga Super sehingga berjaya memperoleh kedudukan tangga kedua dalam Liga Super musim 2004.

Magisnya diteruskan pula bersama Melaka pada musim 2006 apabila berjaya membawa skuad Hang Tuah ke Liga Super pada 2006.

Karier kejurulatihan bersama Felda United juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya membantu pasukan itu meraih kejuaraan Liga Perdana 2010 dan seterusnya meraih tempat ke Liga Super 2011. Beliau juga berjaya membawa skuad Felda United ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2012.

Beliau juga sempat berkelana membimbing PKNS, Melaka United dan PDRM sebelum dilantik sebagai pengendali Sarawak United pada 2020 dan membawa pasukan itu naik ke Liga Super untuk musim 2022.

Sekiranya pengalaman luas dan kejayaan-kejayaan terdahulu diambil kira, sudah pastilah E.Elavarasan menjadi calon paling layak menjadi orang kanan kepada Kim Pan-Gon.

Sumber: Harian Metro

Pengendali Korea Selatan berusia 52 tahun itu diberitakan akan membawa bersama-sama staf kejurulatihannya yang terdiri daripada Pau Marti Vicente (pembantu jurulatih), Cho Jun Ho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis).

Dijangka pada hari yang sama, FAM akan mengumumkan siapa calon jurulatih tempatan yang akan mengisi jawatan pembantu jurulatih.

Sama-sama kita nantikan sama ada akan ada kejutan ataupun sebaliknya.