Azmeer Yusof cabar diri main di Liga M3 pula
Bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Azmeer Yusof ambil keputusan untuk keluar dari persaraan dalam karier bola sepak apabila kini bermain untuk kelab Liga M3 iaitu BRM FC.
Menurut Azmeer, selepas lebih setahun bersara kerana mahu fokus pada perniagaan dan pusat pengajian, beliau terdetik untuk kembali bermain bola sepak kerana mahu mencabar diri selain permintaan daripada anaknya.
“Selain mahu mencabar diri bermain di Liga M3, antara salah satu faktor utama saya kembali beraksi adalah kerana anak-anak saya. Ini kerana apabila anak saya yang berusia dua tahun lihat gambar-gambar saya sebelum ini dia tanya ‘papa main bola ke’.
Agak terasa juga apabila yang sulung dapat melihat saya main bola tetapi anak kedua tak sempat, jadi oleh itu saya ambil keputusan untuk kembali bermain bola,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Walaupun sebelum ini bermain untuk pasukan-pasukan di Liga Super, namun Azmeer perlu bersikap jujur terhadap diri sendiri selepas lebih setahun tidak beraksi pada tahap tertinggi beliau perlu bermula dari bawah terlebih dahulu.
Azmeer yang diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan telah berjaya mengemudi skuad BRM untuk meraih kemenangan pertama pertama selepas menumpaskan Respect FC dengan 2-0.
Dalam pada itu, Azmeer mengakui berdepan cabaran besar apabila menggalas tanggungjawab sebagai kapten berikutan rakan sepasukan adalah dari kalangan pemain-pemain muda.
“Cabaran terbesar saya adalah untuk memberi motivasi kepada pasukan terutamanya pemain muda yang sememangnya berbakat tetapi tidak mempunyai pengalaman. Jadi saya perlu beri tunjuk ajar dan kongsi ilmu dan pengalaman yang saya ada dengan dibantu pemain-pemain senior lain.”
Sementara itu, beliau berharap agar rakan sepasukannya dapat bermain secara konsisten untuk terus mencapai kemenangan demi merealisasikan visi dan misi kelab iaitu mahu layak ke Liga Perdana pada musim hadapan.