Impian Mirabel Ting untuk beraksi di Maybank Championship jadi kenyataan

57

Tahun yang cukup menakjubkan buat pemain golf amatur wanita negara, Mirabel Ting apabila impiannya untuk beraksi di pentas tertinggi Ladies Professional Golf Association (LPGA) menjadi kenyataan apabila pemain berusia 19 tahun itu sah akan beraksi di kejohanan Maybank Championship 2024.

Penyertaan Ting dalam kejohanan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) dari 24 hingga 27 Oktober ini menjadi kenyataan selepas menerima jemputan penaja daripada Maybank, bersama dengan pemain profesional wanita terbaik negara, Ashley Lau dan duta ASEAN Maybank iaitu Kelly Tan.


Trio berbakat ini akan disertai oleh profesional Liyana Durisic dan Durriyah Damian, yang layak melalui Maybank Championship ASEAN Qualifier pada bulan Ogos, membentuk cabaran Malaysia dengan lima pemain dalam acara bernilai USD 3 juta (lebih RM12.6 juta) di KLGCC West Course.

Berpengkalan di Amerika Syarikat, beliau yang bermain untuk golf wanita Universiti Negeri Florida, Ting telah menikmati musim junior yang hebat di sirkit kolej yang kompetitif.

Ting baru-baru ini meraih kemenangan individu kedua berturut-turut di Schooner Fall Classic, menjadi hanya pemain golf ketiga dalam sejarah Florida State yang menang dalam dua permulaan berturut-turut.

Dua kemenangan ini melonjakkan Ting ke tempat kelapan dalam Peringkat Golf Amatur Dunia (25 September), yang merupakan pencapaian tertinggi oleh pemain Malaysia sejak Natasha Oon mencapai tempat ketujuh pada tahun 2022.

“Saya sangat teruja untuk bermain dalam acara LPGA Tour pertama saya di Maybank Championship. Ia adalah impian sejak saya kecil, dan untuk ia menjadi kenyataan secepat ini adalah sesuatu yang luar biasa. Saya hanya ingin keluar dan dapat bersaing dengan pemain terbaik dunia, belajar daripada mereka minggu itu dan lihat ke mana ia membawa saya.

Saya pernah bermain di KLGCC’s West Course sebelum ini; lapangan ini panjang dengan banyak bunker fairway yang boleh menjadi faktor. Susun atur ini memerlukan pengurusan lapangan yang baik untuk dapat beraksi dengan baik,”

ujar Ting.

Awal tahun ini, Ting mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama yang berjaya melepasi potongan di Augusta National Women’s Amateur yang berprestij.

Selepas mencatatkan skor 69 dan 74 di Champions Retreat Golf Club, dia menutup dengan pusingan 74 di fairway suci Augusta National Golf Club untuk menamatkan di tempat kelapan yang mengagumkan.

Pada bulan Julai, Ting membuat penampilan kedua untuk pasukan antarabangsa dalam Arnold Palmer Cup di Lahinch Golf Club di Ireland yang mana beliau meraih dua mata dari empat perlawanan dalam perlawanan gaya Ryder Cup, yang mempertemukan pemain golf kolej/universiti terbaik lelaki dan wanita dari Amerika Syarikat dengan rakan sebayanya dari luar negara. Amerika Syarikat menang perlawanan itu dengan 32½ mata berbanding 27½.

Pada bulan berikutnya, Ting terus memperlihatkan kehebatannya apabila berjaya meraih pingat emas individu dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak termasuk membantu pasukannya meraih pingat gangsa untuk berpasukan.

“Saya katakan permainan wedge, chipping, dan putting saya telah membawa saya ke tempat yang baik dan membantu saya bermain dengan baik dalam tiga acara terakhir, serta memiliki sikap yang baik menjelang kejohanan.”

Ashley Lau yang juga berasal dari Sarawak kini bermain di sirkit pembangunan LPGA, Epson Tour, dan menduduki tempat ke-64 dalam penilaian Race For The Card di tour tersebut.

Awal tahun ini, beliau memecahkan rekod untuk meraih gelaran profesional pertamanya di Women’s Victorian Open di Women’s PGA Tour of Australasia.

Lau merupakan satu-satunya pemain Malaysia dalam acara golf wanita di Sukan Olimpik Paris tahun ini.

Kelly Tan pula tidak perlu diperkenalkan kerana beliau adalah pemain golf paling berjaya di Malaysia, telah beraksi di LPGA Tour sejak 2013 dengan membuat lebih 24 penampilan dalam kejohanan Major.

Wanita berusia 30 tahun ini adalah dua kali atlet Olimpik dan telah menetapkan pelbagai pencapaian untuk golf Malaysia, termasuk prestasi terbaik dalam Major dengan tempat ke-13 di KPMG Women’s PGA Championship 2020.

Kejuaraan Maybank adalah platform yang memberi inspirasi dan aspirasi yang akan mengangkat golf Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Kejohanan ini selaras dengan komitmen terhadap keterangkuman dan memberi inspirasi kepada generasi seterusnya, seterusnya memberikan peluang kepada bakat muda Malaysia untuk bersaing dengan pemain golf terbaik dunia.

Sebagai sebahagian daripada rangkaian Asia hujung tahun LPGA Tour, Maybank Championship 2024 adalah acara 72 lubang tanpa penyingkiran.

Kejohanan tahun ini akan menampilkan barisan pemain bintang termasuk No. 1 Dunia Nelly Korda dari Amerika Syarikat, juara bertahan Celine Boutier dari Perancis, dan Naib Juara 2023 Atthaya ‘Jeeno’ Thitikul dari Thailand yang tewas dalam ‘playoff’ sembilan lubang yang mendebarkan kepada Boutier.

Senarai 78 pemain juga termasuk No. 2 Dunia Lilia Vu dari Amerika Syarikat, pemenang Amundi Evian Championship 2024 Ayaka Furue dari Jepun, bekas No. 1 Dunia Ruoning Yin dari China, Amy Yang dari Korea yang memenangi KPMG Women’s PGA Championship tahun ini, dan juara US Women’s Open dua kali Yuka Saso dari Jepun.

Pilihan tiket termasuk RM38 Pass Hari Biasa (kemasukan pada hari Khamis dan Jumaat), RM68 Pass Hujung Minggu (kemasukan pada hari Sabtu dan Ahad), dan RM88 Pass Musim (kemasukan untuk semua empat hari). Kanak-kanak di bawah 12 tahun boleh masuk percuma, manakala pemegang Kad Maybank (Kad Debit, Kredit & Caj) dan pengguna Aplikasi MAE masuk percuma.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen