Saya hanya ada masa tujuh hari untuk persiap pasukan ke AWCL – Justin Ganai
Ketua jurulatih pasukan Sabah FA, Justin Ganai mendedahkan bahawa beliau hanya mempunyai tempoh seminggu sahaja untuk membuat persiapan pasukan bagi menghadapi kejohanan AFC Women’s Champions League (AWCL).
“Saya mempunyai tempoh sebulan untuk membuat perancangan pasukan bagi menghadapi AWCL tapi memandangkan saingan liga domestik Liga Wanita Nasional (LWN) sedang berlangsung jadi saya hanya punya masa tujuh hari sahaja untuk persiap pasukan bersama pemain import baharu.
Jadi sudah tentu ia bukanlah persiapan yang bagus untuk kita,”
katanya.
Justin berkata demikian ketika sidang media perlawanan pertama peringkat kumpulan AWCL yang akan menyaksikan Sabah akan turun menentang Incheon Red Angels pada malam ini.
Dalam pada itu, Justin turut mengakui bahawa pasukannya bakal berdepan cabaran hebat daripada pasukan lain kerana mereka adalah pasukan gergasi di Asia.
Beliau bagaimanapun berkata mereka akan buat yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang positif.
“Ketiga-tiga pasukan dari China, Korea Selatan dan UAE sememangnya mereka adalah pasukan gergasi tapi akan akan cuba buat yang terbaik untuk layak ke peringkat seterusnya.”
Sabah telah diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah Wuhan Jiangda, Incheon Red Angels dan Abu Dhabi Country Club.