Memang ini kekalahan kedua tapi bukan sesuatu yang merisaukan – Mustafa Ati Goksu

24

Ketua jurulatih Cebu FC, Mustafa Ati Goksu memberitahu beliau tidak bimbang selepas pasukannya mengalami kekalahan kedua berturut-turut kerana peluang mereka masih lagi terbuka.

Menurut Mustafa, beliau enggan terlalu memikirkan mengenai kekalahan sebaliknya fokus untuk perlawanan seterusnya.


“Ya betul ini adalah kekalahan kedua berturut-turut tetapi ia bukanlah sesuatu yang membimbangkan kerana kami sentiasa akan fokus untuk perlawanan seterusnya.

Memang kami kalah perlawanan ini tapi setiap pemain telah berjuang habis-habisan dan kami akan bangkit semula pada perlawanan akan datang,”

katanya.

Mustafa berkata demikian selepas tamat perlawanan kedua peringkat kumpulan AFC Champions League 2 (ACL2) yang menyaksikan mereka tewas 1-0 kepada Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan semalam Mustafa tetap berpuas hati dengan permainan anak buahnya biarpun mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong.

“Mungkin kita kalah perlawanan tapi ia satu perlawanan yang menyeronokkan buat kami kerana ia satu perlawanan yang cukup sengit dan hampir menyamakan kedudukan di saat-saat akhir tapi malangnya gagal.”

Kekalahan kedua itu menyaksikan Cebu kini menghuni tangga tercorot Kumpulan H dengan tanpa sebarang mata.