Kita perlu realistik! Kita belum sampai tahap mereka – Azurin Mazlan

35

Penjaga gol pasukan Sabah FA, Azurin Mazlan terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Incheon Red Angels selepas mereka tewas pada perlawanan pertama peringkat kumpulan AFC Women’s Champions League (AWCL) semalam.

Menurut Azurin, mereka perlu bersikap realistik kerana Sabah masih lagi belum sampai ke tahap pasukan daripada Korea Selatan itu.


“Ia bukanlah permulaan yang kita mahukan kerana kita mahukan kemenangan tapi kita kena bersikap realistik kerana di atas kertas sememangnya kita bukan pasukan pilihan kerana semua sedia maklum Korea sudah ke Piala Dunia.

Jadi kita perlu realistik dan buat yang terbaik untuk perlawanan seterusnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada perlawanan peringkat Kumpulan A AWCL, Sabah terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lawan apabila mereka tewas 3-0 kepada Incheon Red Angels.

Dalam pada itu, Azurin berharap agar rakan sepasukannya Win Theingi Tun dapat pulih sebelum perlawanan kedua menentang tuan rumah Wuhan Jiangda pada 6 Oktober ini.

“Saya rasa dengan kehadiran Win untuk perlawanan seterusnya yang mana saya harap beliau akan cergas sepenuhnya untuk bermain boleh menambahkan lagi semangat kami untuk bermain.

Ini adalah perlawanan pertama kami bersama selepas mengharungi jadual padat dalam saingan Liga Wanita Nasional (LWN).”

Azurin juga memberi jaminan bahawa beliau dan rakan sepasukan akan memberikan yang terbaik untuk aksi seterusnya bagi memastikan impian untuk mengutip tiga mata penuh jadi kenyataan.