Satu sudah lepas, apa sasaran seterusnya BAM untuk skuad wanita negara?

163

Dua kejayaan berturut-turut skuad badminton negara menewaskan pasukan Jepun dan India dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) membolehkan skuad negara layak secara merit ke Piala Uber 2022.

Piala Uber menjadi keutamaan di samping kejohanan-kejohanan besar lain. Sukan Sea Hanoi, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou turut menjadi fokus buat BAM sepanjang tahun 2022.


Perkara pertama yang perlu difokuskan oleh BAM adalah mencari calon jurulatih perseorangan wanita yang sesuai bagi menggantikan Indra Wijaya yang bakal tamat kontraknya pada penghujung Mac 2022. Teka-teki siapa calon yang sesuai untuk menggantikan tempat jurulatih dari Indonesia itu masih menjadi tanda tanya.

Jurulatih yang bakal dilantik seharusnya mempunyai latar belakang yang bagus memandangkan pemain-pemain perseorangan wanita negara masih dilanda isu konsistensi. S.Kisona yang menjadi sandaran utama untuk skuad negara masih lagi belum menempatkan diri dalam kelompok pemain-pemain terbaik dunia.

Beliau juga bergelut untuk mempamerkan prestasi yang baik biarpun mempunyai potensi untuk mendaki ranking badminton dunia.

Eoon Xi Quan dan Siti Nurshuhaini pula masih kurang daripada segi pengalaman beraksi dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa. Pendedahan di peringkat tertinggi buat kedua-dua pemain ini sebenarnya amat diperlukan dalam membentuk perseorangan wanita yang cukup ampuh dalam mana-mana kejohanan.

Goh Jin Wei, pemain perseorangan profesional negara menjadi nama yang sesuai untuk dipanggil memperkuatkan pasukan wanita negara. Pemain yang mencipta beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa ketika bernaung di bawah BAM memerlukan sedikit masa untuk kembali ke prestasi terbaiknya.

Kehadiran Goh Jin Wei ke dalam kem skuad negara dilihat mampu untuk memberikan motivasi kepada pemain-pemain lain memandangkan beliau pernah menjadi sandaran utama negara dalam kejohanan-kejohanan besar.

Kekuatan skuad wanita negara sebenarnya terletak pada bahagian beregu. Pearly Tan dan M.Thinaah dilihat mampu untuk menjelmakan kejutan apabila turun menentang lawan. Pasangan yang berada pada ranking ke-16 dunia itu seakan sudah bersedia untuk mencabar lawan yang jauh lebih berpengalaman.

Ditambah pula dengan kejayaan menjuarai Terbuka Swiss pada tahun lalu dilihat memberikan motivasi tambahan buat pasangan itu dalam menghadirkan sesuatu buat skuad wanita negara.

Oleh yang demikian, BAM seharusnya bertindak secara efektif merangka perancangan terbaik dalam membantu skuad wanita negara mencipta kejayaan di peringkat tertinggi.