Lebih tumpuan kepada saya buat saya akan lebih bersemangat untuk tunjukkan kemampuan – Qaseh Rania

51

Pemain pasukan kebangsaan Malayan Tigress B-17, Qaseh Rania memberitahu beliau tidak berasa tekanan dengan tumpuan ramai terhadap dirinya sebaliknya perkara itu membuatkannya lebih bersemangat untuk tunjukkan kemampuannya.

“Dengan tumpuan yang diberikan akan buat saya berasa lebih bersemangat untuk membuktikan kepada mereka yang saya juga boleh melakukannya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Qaseh merupakan pemain yang menjadi tumpuan kerana beliau baru sahaja pulang dari Jerman selepas menjalani latihan bersama kelab gergasi Vfl Wolfsburg baru-baru ini.


Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mana skuad negara akan mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa tertutup di Singapura di Kallang Football Hub.

Dalam pada itu, Qaseh meluahkan rasa bersyukurnya apabila impiannya untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan menjadi kenyataan dan beliau berjanji mahu berikan yang terbaik buat skuad negara.

“Alhamdulillah saya bangga dengan diri saya dan dapat membanggakan ibu bapa saya dan saya akan buat yang terbaik di sana nanti.”

Beliau pada masa sama juga berkata sepanjang kem latihan pusat semuanya berjalan dengan lancar dan pasukan sudah bersedia.

Sementara itu, Qaseh juga tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman yang ditimba semasa bersama Wolfsburg bersama rakan sepasukan dan juga kepada barisan kejurulatihan.