Yusoff Mahadi akui ramai yang berminat untuk jadi pengendali Harimau Malaya
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mendedahkan bahawa ramai menunjukkan minat untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan yang baharu.
Menurut Yusoff Mahadi, ramai yang menunjukkan minat terhadap Harimau Malaya selepas melihat skuad negara kini sudah memperlihatkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Memang banyak sekarang ini yang minat untuk jadi ketua jurulatih Malaysia sebab mereka tengok Malaysia kini sudah mampu bersaing di peringkat tertinggi.
Jadi banyak jurulatih berminat tetapi akhirnya saya berkata kita akan pilih yang sesuai dengan kita sebagai contoh jurulatih yang faham dengan budaya kita dan sebagainya.
Kalau ambil jurulatih nama besar tapi beliau tak faham kita pun nanti susah juga, jadi untuk Pau Marti saya rasa beliau ada kelebihan sebab beliau sudah faham dengan kita,”
katanya.
Tambahnya lagi, kesemua jurulatih yang menyuarakan minat untuk mengendalikan skuad negara adalah daripada luar negara namun beliau tidak dapat dedahkan identiti jurulatih tersebut.
Dalam pada itu, Yusoff Mahadi turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengambil kira soal bayaran tinggi atau tidak kepada seseorang ketua jurulatih sebaliknya mahukan seseorang yang boleh bawa bola sepak Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Kita bukan cakap soal gaji tapi kita nak jurulatih yang mampu bawa kita ke satu tahap lain. Kalau kita bayar gaji RM100,000 tapi tak boleh bawa kita pergi jauh, lebih baik kita bayar gaji jurulatih gaji RM200,000 yang boleh bawa kita pergi lebih jauh.
Oleh sebab itu ia bukan soal gaji tapi soalnya mampu atau tidak bawa Malaysia ke satu tahap lebih tinggi.”
Beliau berkata demikian selepas tamat Mesyuarat Ke-12 Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025 yang berlangsung di Wisma FAM semalam.