Razin Rahim bersyukur impian untuk sarung jersi Malaysia jadi kenyataan

25

Pemain futsal pasukan kebangsaan, Razin Rahim bersyukur dan teruja apabila impiannya untuk menyarung jersi negara menjadi kenyataan selepas dipanggil oleh ketua jurulatih Rakphol Sainetngam bagi menyertai kem latihan pusat bermula Isnin, 7 Oktober 2024 sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Futsal ASEAN 2024.

“Perasaan saya cukup gembira apabila dapat panggilan untuk pasukan kebangsaan sebab sudah lama saya tunggu saat ini dan nama saya tersenarai untuk senarai pemain yang dipanggil jadi saya sangat gembira,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Razin, biarpun skuad kali adalah gabungan pemain lama dan baru namun beliau tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan lain.


Malah beliau turut memuji sikap pemain-pemain senior yang banyak membantu sepanjang latihan.

“Untuk pemain senior dalam pasukan ini mereka sangat merendah diri yang mana mereka hormat kami dan kami juga hormat mereka, malah mereka juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan kami.”

Razin turut berjanji akan memberikan persembahan terbaik sekiranya diberikan peluang untuk turun beraksi nanti.

Untuk Kejuaraan Futsal ASEAN yang akan berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand dari 2 hingga 11 November 2024, skuad negara telah diundi dalam Kumpulan A bersama Brunei, Vietnam, Thailand dan Timor Leste.