Bangga dengan persembahan pemain walaupun terpaksa bermain dengan 10 orang – Justin Ganai

26

Ketua jurulatih Sabah FA, Justin Ganai bangga dengan persembahan pemain-pemainnya selepas mereka berjaya mengikat pasukan Abu Dhabi Country Club dengan keputusan 2-2 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan AFC Women’s Champions League (AWCL) semalam.

Menurut Justin, apa yang membuatkan beliau bangga adalah semangat juang yang dipamerkan oleh anak buahnya biarpun terpaksa bermain dengan 10 pemain selama 75 minit selepas pengadil melayangkan kad merah kepada seorang pemainnya.


“Saya berasa sangat bangga dengan pemain-pemain saya yang mempamerkan corak permainan yang cukup menarik dengan hanya 10 pemain.

Jika kita bermain dengan 11 pemain keputusan perlawanan pastinya akan menjadi berbeza. Apa-apa pun tahniah kepada Abu Dhabi kerana mereka berjaya mara ke peringkat seterusnya,”

katanya.

Tambahnya lagi, kejohanan di pentas Asia ini memberi pengalaman yang cukup berharga buat pemain-pemainnya.

Dalam pada itu, Justin turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Sabah FA termasuk pengurus pasukan Muhd Arziz Afizy Rumsani atas kerja keras mereka.

“Tanpa tuan pengurus Sabah, pasukan ini tidak mampu sampai ke sini.”

Sabah menamatkan saingan AWCL Kumpulan A di tangga tercorot dengan berjaya membawa pulang satu mata berharga di pentas Asia.