Kita siapkan Malayan Tigress B-17 ini untuk kejohanan Piala AFF dan AFC tahun depan – Fadilah Sarbi

26

Pengurus pasukan kebangsaan Malayan Tigress B-17, Datuk Dr Fadilah Sarbi memberitahu bahawa mereka sedang mempersiapkan skuad B-17 untuk menyertai kejohanan Piala AFF dan AFC yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

Menurut Fadilah, skuad kendalian Cameron Ng ini adalah skuad projek jangka masa panjang yang mana mereka kumpulkan pemain-pemain berkualiti dari seluruh negara.


“Biarpun anak-anak ini berusia 12, 13 dan 14 tahun kita dapat kumpulkan mereka dari seluruh Malaysia dan nampak pasukan ini boleh pergi jauh memandangkan kita menyiapkan pasukan ini untuk kejohanan seterusnya iaitu Piala AFF dan AFC pada tahun depan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Fadilah berkata demikian selepas skuad B-17 mempamerkan persembahan positif selepas berjaya seri 3-3 dan menang 4-1 ke atas pasukan Singapura B-17 dalam aksi persahabatan antarabangsa tertutup baru-baru ini.

“Pada mulanya kita nampak mereka agak gugup pada perlawanan pertama tapi pada perlawanan kedua kita berjaya melangkah lebih jauh, berani dalam membuat keputusan dan boleh cabar sesiapa sahaja dalam pentas ini.”

Dalam pada itu, Fadilah juga berkata kejayaan pasukan bola sepak wanita Sabah FA yang berjaya mencipta sejarah apabila berjaya membawa pulang satu mata berharga pada kejohanan AFC Women’s Champions League (AWCL) baru-baru ini akan memberi motivasi buat pemain-pemainnya.