Malaysia akan menang 2-0 lawan New Zealand – Amri Yahya

77

Bekas pemain kebangsaan, Amri Yahya meramal bahawa skuad Harimau Malaya mampu memperoleh kemenangan pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand pada petang ini.

“Malaysia nak menang 2-0, saya ‘simple’,”

jawabnya ringkas kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai skuad manakah yang perlu dihantar untuk menyertai kejohanan Piala AFF 2024 kali ini Amri tidak dapat memberikan sebarang komen kerana berkata ia adalah keputusan daripada barisan kejurulatih yang diketuai oleh Pau Marti.


“Bagi saya itu terpulang mereka untuk hantar pasukan yang mana sebab saya sendiri pun tidak tahu pasukan mana yang berhak bermain.

Ini adalah keputusan daripada FAM dan ketua jurulatih skuad negara. Kita sebagai penyokong kita perlu sokong saja.”

Tambahnya lagi, beliau secara peribadi akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih untuk mewakili negara.

Amri merupakan salah seorang pemain Harimau Malaya yang berjaya menjulang trofi berprestij itu pada tahun 2010 yang dikendalikan oleh Datuk K. Rajagopal.

Untuk kejohanan kali ini, skuad kendalian Pau Marti telah diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan gergasi Thailand, Singapura, Kemboja dan Brunei atau Timor Leste.

Kesemua perlawanan akan berlangsung dengan format ‘home’ & ‘away’ dengan hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Dalam pada itu, Amri yang kini sudah berusia 43 tahun masih lagi aktif bermain bola sepak apabila beliau kini bermain bersama pasukan PT Athletic FC yang beraksi di liga semi-profesional iaitu Liga A1.

Menurut Amri beliau tidak meletak sebarang tempoh sampai bila beliau akan terus bermain tetapi berkata beliau akan bersara bila sampai masanya kelak.

“Saya akan tahu bila saya akan berhenti bermain bola.”